30 Minit Selepas Muncul Di TTMM, Komposer Terkenal Lamar Adrian Untuk Bagi Lagu

Anak kepada pelakon Amyza Aznan iaitu Adrian Adam menerima khabar gembira apabila ditawarkan sebuah lagu oleh seorang komposer dan pemilik syarikat rakaman selepas tampil membuat persembahan di pentas Talk To My Manager 2 (TTMM2) pada Ahad.
Menurut Amyza, tawaran tersebut diterima hanya kira-kira 30 minit selepas Adrian selesai menyampaikan persembahan istimewanya dalam konsert minggu kelima program berkenaan.
Pelakon berusia 49 tahun itu mengakui dirinya sebak dan bersyukur kerana sebelum ini dia pernah berharap agar ada pihak dalam industri muzik sudi memberi peluang kepada anaknya untuk merakamkan lagu sendiri.
“Sebelum ini memang pernah terdetik dalam hati, kalaulah ada mana-mana komposer yang sudi menghasilkan lagu untuk Adrian.
“Tetapi saya tidak sangka Allah gerakkan hati individu tersebut. Ini rezeki yang langsung tak dijangka,” katanya.
Tambah Amyza, individu terbabit menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp selepas tersentuh melihat persembahan Adrian di atas pentas.
“Individu itu menghantar WhatsApp dan menawarkan untuk menghasilkan lagu buat Adrian sejurus selepas persembahan tadi,” ujarnya.
Sementara itu, Adrian turut meluahkan rasa terharu selain menganggap peluang tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus kuat melawan penyakit kanser tulang yang dihidapinya.
“Rasa terkejut, tak sangka dan gembira. Insya-Allah saya bersedia untuk mengikuti kelas vokal dan membuat persediaan bagi lagu ini.
“Mungkin ini menjadi pemangkin semangat untuk saya terus berjuang. Saya anggap nyanyian sebagai satu terapi untuk kesihatan mental,” katanya.
Adrian dalam masa sama berkata dia terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer dan menganggap peluang diberikan itu sebagai sesuatu yang sangat bermakna buat dirinya.
“Sebenarnya saya okay dengan mana-mana komposer. Bagi saya dapat penulisan daripada mereka dikira benda yang perlu dihargai,” katanya lagi.
Terdahulu, Adrian mencuri perhatian ramai apabila membuat kemunculan khas di pentas TTMM2 dengan menyampaikan lagu Ku Mohon nyanyian asal Sheila Majid sambil berkerusi roda.
Persembahan tersebut mendapat tepukan gemuruh penonton serta ‘standing ovation’ daripada para juri yang turut memuji keberanian dan semangat ditunjukkannya.
Untuk rekod, Adrian sepatutnya menjadi salah seorang peserta TTMM2, namun terpaksa menarik diri selepas disahkan menghidap kanser tulang pada Februari lalu dan kini sedang menjalani rawatan alternatif bagi melawan penyakit tersebut.



