Music

“Saya Rasa Sangat Sihat” – Jeongyeon TWICE

Anggota kumpulan TWICE, Jeongyeon berkongsi perkembangan positif mengenai perjalanan kesihatan dan kecergasan dirinya apabila mengakui dia kini berasa sangat sihat selepas berjaya mengatasi cabaran kesihatan sebelum ini serta memberi fokus kepada senaman.

Kenyataan itu dibuat ketika penampilan bersama rakan kumpulan Jihyo dan Seungkwan daripada SEVENTEEN dalam satu program di Youtube baru-baru ini.

Dalam video tersebut, Seungkwan bertemu Jeongyeon dan Jihyo yang kini sibuk menguruskan jadual padat melibatkan konsert jelajah dalam dan luar negara.

Melihat mereka masih bertenaga walaupun jadual sangat sibuk, Seungkwan sempat bergurau dengan berkata dia menyangka mereka akan kelihatan penat tetapi sebenarnya nampak berseri-seri.

Jeongyeon kemudian menjawab dengan positif: “Saya rasa sangat sihat. Saya rasa sangat baik sekarang,” ungkapnya.

Jihyo turut berkongsi yang dia bersama Jeongyeon menjadi ‘workout buddies’ sepanjang jelajah tersebut.

“Kami banyak pergi sauna, selalu ke gim dan banyak berlari,” kata Jihyo sambil menjelaskan mereka tetap mengekalkan rutin kecergasan walaupun berdepan jadual yang meletihkan.

Seungkwan kemudian bertanya sama ada mereka turut menjaga pemakanan sepanjang tempoh itu.

Jihyo mendedahkan jelajah yang melibatkan keseluruhan 80 persembahan itu merupakan antara yang paling panjang pernah mereka lakukan.

Dia turut berkongsi cerita lucu apabila dia dan Jeongyeon masing-masing membeli periuk memasak mudah alih ketika jelajah berlangsung.

“Jeongyeon masak kalguksu dan saya pula masak budae-jjigae,” katanya sehingga mengundang gelak tawa.

Fokus baharu Jeongyeon terhadap kesihatan hadir selepas dia sebelum ini berehat pada tahun 2020 akibat masalah cakera hernia pada leher.

Dia juga pernah mengalami kesan sampingan rawatan steroid termasuk pertambahan berat badan dan simptom berkaitan Cushing syndrome.

Perkongsian terbaharunya itu mencerminkan perubahan positif apabila dia terus mengutamakan kecergasan dan proses pemulihan sambil aktif mempromosikan TWICE.

Related Articles

Back to top button