Dapat Bayi Salah, Bapa Persoal Kecuaian Hospital

Sepasang suami isteri yang teruja menantikan kelahiran cahaya mata mereka dikejutkan dengan insiden pertukaran identiti bayi di hospital apabila diserahkan bayi lelaki dan bukannya anak perempuan.
Menurut laporan Harian Metro, Muhammad Harraz Haziq berkata isterinya melahirkan seorang bayi perempuan pada 7 April sebelum bayi itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di Hospital Tunku Azizah.
Katanya, bayi mereka sepatutnya dibenarkan pulang pada 8 April namun terpaksa terus berada di wad akibat masalah jaundis.
Pada malam 8 April, Muhammad Harraz berkata seorang jururawat datang mengambil bayinya untuk ujian darah sebelum sekitar jam 5 pagi keesokan harinya, bayi tersebut diletakkan semula di dalam inkubator.
“Sekitar jam 6 pagi, isteri saya mula rasa ada sesuatu yang tak kena dan terkejut apabila mendapati bayi itu sebenarnya bayi lelaki, bukan anak perempuan kami,” katanya.
Apabila dia mempersoalkan perkara itu kepada jururawat bertugas, individu tersebut didakwa kelihatan ragu-ragu dan bertanya sama ada dia benar-benar pasti mengenai jantina bayinya sendiri.
“Mereka tanya saya betul ke bayi saya perempuan. Mujur saya ada ambil gambar borang pengesahan kelahiran sebagai bukti.
“Walaupun anak perempuan saya berjaya ditemui pada hari yang sama, apa yang paling mengelirukan saya ialah bagaimana kedua-dua bayi boleh memakai tag dengan nama isteri saya?” soalnya.
Berang dengan kejadian tersebut, Muhammad Harraz cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada pasukan perubatan terlibat namun mendakwa mereka mengelak daripada menjawab persoalannya.
Dia juga cuba menghubungi doktor yang bertanggungjawab tetapi tidak berjaya.
Tidak berpuas hati dengan situasi itu, Muhammad Harraz membuat laporan polis pada 10 April dengan harapan pihak hospital tampil memberikan penjelasan.
Dalam satu kenyataan, pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr Shamsul Anuar Kamarudin berkata isu tersebut telah diselesaikan dan kedua-dua bayi telah dipulangkan kepada ibu masing-masing.
Menurut laporan New Straits Times, beliau berkata pihak hospital turut memberikan penjelasan dan sokongan sewajarnya kepada keluarga terlibat.
Hasil pemeriksaan awal juga mendapati tiada penyusuan atau prosedur perubatan yang menjejaskan keselamatan bayi berlaku sepanjang insiden tersebut.
Tambah beliau lagi, siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menambah baik prosedur sedia ada supaya insiden sama tidak berulang.



