Lelaki 29 Tahun Warisi RM100,000, Bertanya Cukupkah Untuk Bersara Awal?

Seorang lelaki berusia 29 tahun mencetuskan perbincangan dalam talian selepas mendedahkan yang dia mewarisi wang berjumlah RM100,000 daripada seorang saudara dan tertanya-tanya sama ada jumlah itu cukup untuk membolehkannya bersara awal.
Dikongsi di Ricebowl Forum, lelaki tersebut mengakui penat mental dengan pekerjaannya dan tidak lagi menikmati gaya hidupnya sekarang.
Dalam hantaran itu, lelaki itu menjelaskan, dia telah bekerja selama lima tahun dan sebelum ini hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 sebelum mengetahui dia bakal menerima wang pusaka RM100,000 daripada ahli keluarga.
Dia menyifatkan situasi tersebut sebagai kekayaan yang datang sekelip mata dan langsung tidak pernah terjangka akan berlaku dalam hidupnya.
“Sejak kebelakangan ini, saya memang dah tak rasa nak pergi kerja. Kerja rasa sangat meletihkan,” tulisnya.
Lelaki itu berkata, dia mula tertanya-tanya sama ada jumlah keseluruhan RM110,000 yang dimilikinya kini cukup untuk menampung kehidupannya sehingga usia 70-an sekiranya dia memilih untuk bersara sekarang.
Menurutnya, dia tidak bercadang untuk berkeluarga atau menjalani gaya hidup mewah. Dia juga menjelaskan sudah memadai dengan kehidupan sederhana seperti memasak sendiri dan mengekalkan perbelanjaan pada tahap rendah.
Namun begitu, lelaki berkenaan turut mempersoalkan sama ada wang tersebut benar-benar mencukupi untuk tempoh 40 tahun akan datang, terutama jika dia hidup lebih lama daripada jangkaan.
Walaupun mempertimbangkan idea untuk bersara, lelaki itu berkata dia mungkin masih akan mencari kerja sambilan yang lebih ringan pada masa depan untuk perlahan-lahan menambah simpanan.
Hantarannya pantas menarik perhatian netizen, dengan ramai berpendapat RM100,000 kemungkinan besar tidak mencukupi untuk menampung kehidupan seseorang selama beberapa dekad, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup dan inflasi.
“Dengan inflasi sekarang, RM100,000 memang tak cukup untuk bersara. Kalau ada benda tak dijangka berlaku, duit itu boleh habis dengan cepat. Jangan pandang rendah pada inflasi.”
“RM100k tak sebanyak yang awak fikir.”
“Budak ini mungkin belum pernah tengok duit banyak. RM100,00 pun belum tentu cukup, apatah lagi untuk hidup sampai tua,” tulis beberapa netizen.



