“Meluat Lihat Manusia Merokok Di Tempat Dilarang”

Pelakon, Rita Rudaini, 50, meluahkan rasa berang terhadap sikap segelintir perokok yang masih tidak menghiraukan larangan merokok di tempat awam meskipun notis amaran dipamerkan dengan jelas.
Rita menyifatkan golongan tersebut sebagai individu yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan keselesaan orang lain.
“Paling meluat melihat manusia merokok di tempat dilarang. Sudah jelas kedai makan letak tanda larangan merokok, tetapi masih buat tidak nampak. Buta mata, buta hati,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Menurut ibu dua cahaya mata itu lagi, keadaan menjadi lebih menyakitkan hati apabila individu terbabit bersikap selamba seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Bila kita pandang, dia pandang balik. Muka selamba, langsung tidak fikir orang lain,” katanya.
Tambah Rita, sikap seperti itu menunjukkan mereka sedar dengan perbuatan sendiri namun tetap memilih untuk mengabaikan hak dan keselesaan masyarakat sekeliling.
“Orang seperti ini memang tahu perangai sendiri. Mereka tidak fikir tentang orang sekeliling, hanya pentingkan diri sendiri,” ujarnya lagi.
Luahan Rita mendapat sokongan ramai netizen yang bersetuju dengan pandangannya, malah ada yang meminta tindakan lebih tegas dikenakan terhadap individu yang masih berdegil merokok di kawasan larangan.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir netizen berpandangan perkara tersebut sepatutnya ditegur secara terus di lokasi kejadian dan bukan hanya diluahkan menerusi media sosial semata-mata.



