Music

Nama Yuna “Terukir Di Bintang”, Catat 1 Bilion Penstriman

Penyanyi, Yuna terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila mencipta sejarah sebagai artis tempatan pertama berjaya meraih lebih satu bilion penstriman di platform Spotify.

Pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai mengakui pencapaian tersebut langsung tidak pernah menjadi sasaran sepanjang penglibatannya dalam industri muzik kerana dia selama ini berkarya atas dasar minat dan kepuasan diri.

“Sebaik bermula dalam bidang ini, saya tak pernah terfikir akan menjadi penyanyi dengan jumlah penstriman sebanyak satu bilion.

“Walaupun mungkin saya dikatakan antara artis besar, tetapi sasaran sebegitu seolah-olah tidak nyata buat saya,” katanya.

Menurut penyanyi yang turut menempa nama di Amerika Syarikat itu, dia sentiasa bersyukur apabila karya-karyanya masih mendapat tempat di hati pendengar di seluruh dunia.

“Tapi selagi orang masih mendengar lagu saya dan terus melakukan penstriman, sudah tentu saya sangat bersyukur dan gembira,” ujarnya.

Yuna turut mendedahkan dia sendiri tidak menyedari tentang pencapaian luar biasa itu sehinggalah dimaklumkan oleh peminat menerusi media sosial.

“Sebenarnya saya tak sedar mengenai berita itu. Bila peminat mula berkongsi dan mengucapkan tahniah, saya memang terkejut.

“Meskipun ia bukan sasaran kerana saya menghasilkan muzik atas dasar minat, tetapi pencapaian ini satu bonus besar dalam karier saya,” katanya lagi.

Tambah pelantun lagu Terukir Di Bintang itu, kejayaan tersebut juga dianggap sebagai hadiah istimewa buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya sejak dahulu.

“Ia juga hadiah buat peminat terutama dari Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, Yuna menyifatkan pencapaian satu bilion penstriman itu sebagai satu titik permulaan baharu untuk dirinya terus melangkah lebih jauh dalam dunia muzik.

“Alhamdulillah, boleh dikatakan satu impian tercapai. Mungkin selepas mencapai satu bilion strim ini, ia menjadi permulaan baharu buat saya.

“Apabila melihat angka satu bilion itu, saya rasa ia sesuatu yang sangat baik. Namun, dalam masa sama saya terus fikir apa lagi selepas ini,” katanya.

Yuna bagaimanapun menegaskan dia tidak pernah menghasilkan muzik semata-mata mahu mengejar populariti atau angka penstriman yang tinggi.

“Saya hasilkan muzik lebih kepada untuk berseronok bersama kawan-kawan, untuk diri sendiri dan kerana minat terhadap muzik.

“Jadi pencapaian ini saya anggap sebagai bonus yang cukup bermakna dalam perjalanan kerjaya saya. Pada masa sama, ia juga satu kebanggaan buat rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, berdasarkan data di Spotify, Yuna kini mempunyai lebih 3.7 juta pendengar bulanan selain lebih 476,000 pengikut di platform penstriman muzik tersebut.

Related Articles

Back to top button