“V.I.P Tak Ajak Saya”

Pelakon Fadlan Hazim menjelaskan bahawa ketiadaannya dalam konsert Tukang Gempak ‘Adam’ yang menampilkan semula kumpulan Versatility In Performance (V.I.P) bukan kerana sengaja menyisihkan diri, sebaliknya dia tidak menerima sebarang pelawaan untuk turut serta.
Menurut Fadlan, hubungan antara dirinya dan bekas ahli V.I.P masih dalam keadaan baik serta sesekali berhubung seperti biasa, namun dia tidak mengetahui sebab namanya tidak tersenarai dalam persembahan tersebut.
Katanya, dia tidak melihat isu itu sebagai sesuatu yang perlu diperbesarkan kerana perjalanan bersama kumpulan V.I.P sudah lama berakhir sekitar tahun 2012, selepas masing-masing membawa haluan sendiri dalam industri hiburan.
“V.I.P tak ajak saya tetapi kami masih berhubung, masih ‘contact’, cuma saya tidak pasti kenapa tidak dijemput. Saya tidak terasa apa-apa sebab bagi saya perjalanan dengan kumpulan VIP memang sudah berakhir sejak 2012 lagi,” katanya.
Walaupun tidak terlibat, Fadlan tetap meluahkan rasa gembira melihat bekas rakan seperjuangannya kembali beraksi di pentas, lebih-lebih lagi dalam suasana yang mengimbau zaman kegemilangan mereka dahulu.
“Bila tengok mereka buat persembahan semula, saya rasa seronok. Nampak Adam kembali, terasa macam ‘sifu’ dan ‘brother’ saya kembali ke pentas. “Saya jadi terimbau kenangan lama.
“Dulu kami banyak buat ‘road tour’, persembahan sana sini. Banyak kenangan lucu, susah senang bersama.
“Kami berlima dulu. Biasalah dalam ‘boy band’, masing-masing ada hala tuju sendiri. Ada mahu ke depan, ada pilihan lain. Semua itu cerita lama,” ujarnya lagi.
Mengulas kemungkinan untuk kembali bergabung sekiranya diajak semula, Fadlan tidak menutup pintu sepenuhnya, namun mengakui perasaan rindu itu hadir berserta rasa ragu untuk mengulangi sejarah lama, kerana setiap ahli kini sudah memiliki arah kehidupan masing-masing.
Terdahulu, konsert Tukang Gempak ‘Adam: The Last Dance’ yang berlangsung pada 9 Mei lalu turut diserikan dengan kemunculan khas bekas ahli V.I.P yang mempersembahkan beberapa lagu popular mereka seperti Mimpi Sedih dan Mafia.



