Trending

“Setiap Kali Melihat Anak-Anak, Satu Kekuatan Hadir Dalam Diri”

Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 40, mengakui dua anaknya menjadi sebab utama dia terus kuat dan mampu bangkit selepas melalui pelbagai fasa sukar dalam kehidupannya.

Menerusi perkongsian di Instagram sempena Hari Ibu, Sarah berkata tidak semua orang memahami betapa peritnya untuk kekal kuat setiap hari ketika berdepan ujian hidup yang datang bertubi-tubi.

Sarah memberitahu, suatu ketika dahulu dia pernah merasakan dirinya tidak cukup kuat untuk menghadapi segala dugaan yang berlaku dalam hidupnya.

“Dulu saya tak sedar saya punya kekuatan. Saya fikir saya lemah dan tak mampu harunginya. Tapi apabila dilanda ujian, barulah saya tahu sebenarnya kita mampu menolak diri semaksimum mungkin,” katanya.

Ungkapnya lagi, tempoh beberapa tahun merupakan waktu yang sangat mencabar buat dirinya, namun dia tetap bertahan walaupun dalam keadaan emosi yang tidak stabil demi anak-anaknya, Syaikhul dan Sumayyah.

“Lima tahun saya bertahan walaupun lemah, tetapi selepas itu saya bangkit kerana saya punya anak-anak. Merekalah kekuatan bagi saya,” katanya.

Dalam perkongsian sama, pelakon itu turut mengakui dirinya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada rasa letih, sedih dan kesunyian dalam menjalani kehidupan.

“Ada waktunya hati terlalu lelah, dunia terasa berat dan air mata jatuh diam-diam tanpa sesiapa nampak. Tetapi setiap kali melihat anak-anak, ada satu kekuatan hadir semula dalam diri.

“Kekuatan seorang ibu lahir daripada pelukan kecil dan senyuman anak yang tidak pernah tahu betapa mereka sebenarnya sedang menyelamatkan hati ibunya,” luahnya.

Untuk rekod, Puteri Sarah pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014 sebelum disahkan bercerai talak satu pada 14 Jun 2023.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 9, dan Sumayyah, 7.

Related Articles

Back to top button