Daiyan Trsiha Miliki Ciri Wanita Idaman Amir Ahnaf

Pelakon, Amir Ahnaf, 26, tampil menjelaskan mengenai hubungannya dengan aktres dan penyanyi Daiyan Trisha selepas keakraban mereka mencetuskan spekulasi kononnya sedang menjalinkan hubungan istimewa.
Amir menegaskan mereka hanyalah kawan baik dan tidak pernah terfikir untuk membawa hubungan tersebut ke arah lebih serius.
Menurut Amir, dia selesa berkawan dengan Daiyan kerana penyanyi itu mempunyai sikap yang menyenangkan selain mudah mesra dengan semua orang.
“Saya memang suka berkawan dengan dia. Daiyan seorang yang ceria dan sangat mudah disenangi.
“Setakat ini, saya tak pernah terfikir pun untuk ada hubungan lebih daripada kawan,” katanya.
Dalam masa sama, Amir mengakui Daiyan sememangnya memiliki ciri wanita idamannya, namun menganggap perkara itu bukan bererti mereka bercinta.
“Memang Daiyan ada ciri-ciri wanita yang saya suka, itu saya tak nafikan. Tapi buat masa sekarang, kami lebih selesa berkawan sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, keakraban mereka mula menjadi perhatian ramai selepas tampil bersama menerusi lagu raya Jom Raya yang memperlihatkan keserasian mereka di depan kamera.
Selain itu, tular juga video memaparkan Amir dan Daiyan meluangkan masa bersama termasuk misi menghasilkan mentega sendiri yang membuatkan ramai peminat mula mengusik serta merestui hubungan mereka.



