Berita

Lisa Surihani Berangkat Ke Makkah, Tunaikan Haji

Pelakon, Datin Lisa Surihani telah berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji pada musim haji tahun ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, Lisa meluahkan rasa syukur apabila diberikan peluang menjadi tetamu Allah untuk menyempurnakan rukun Islam kelima yang sudah lama diimpikannya.

“Dengan penuh rasa rendah diri, insya-Allah saya akan berangkat menunaikan ibadah haji. Perjalanan ini sangat besar maknanya buat saya dan saya berharap dapat melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin,” tulisnya.

Dalam pada itu, Lisa turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua pihak sekiranya pernah melakukan kesilapan sama ada secara sengaja atau tidak sebelum berangkat ke Mekah.

“Saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan, tutur kata atau perbuatan yang mungkin pernah mengguris hati sesiapa sahaja.

“Doakan agar segala urusan ibadah saya dipermudahkan dan diterima Allah SWT,” katanya lagi.

Lisa turut menzahirkan penghargaan terhadap individu yang menghadiahkan pelbagai kelengkapan haji buat dirinya sebagai persiapan ke Tanah Suci.

Menurutnya, segala kebaikan dan keprihatinan yang diberikan amat dihargai dan cukup bermakna buat dirinya.

“Hati saya sangat tersentuh dengan kemurahan hati insan-insan yang membantu menyediakan pelbagai keperluan untuk ibadah ini. Semoga segala jasa baik dibalas dengan ganjaran berlipat kali ganda,” ujarnya.

Pada masa sama, isteri kepada Datuk Yusry Abdul Halim itu turut menitipkan doa agar keluarganya sentiasa berada dalam lindungan Allah sepanjang pemergiannya ke Tanah Suci.

“Saya serahkan keluarga tercinta di bawah jagaan Allah SWT. Semoga hati kami semua dipenuhi ketenangan dan rasa cukup,” ungkap Lisa.

Lisa turut berharap dirinya serta seluruh jemaah haji tahun ini dikurniakan ibadah haji yang mabrur dan pulang dengan jiwa yang lebih baik.

Related Articles

Back to top button