Berita

Sel Kanser Sahronizam Merebak Ke Paru-Paru

Penyanyi, Safura Yaacob, 53, reda menerima ujian apabila suaminya yang juga pelakon, Sahronizam Noor dijadualkan akan menjalani pembedahan kedua pada 12 Jun depan selepas doktor mengesan sel kanser sudah merebak ke paru-paru.

Safura, berkata keputusan itu dibuat selepas suaminya selesai menjalani 33 sesi rawatan radioterapi sebelum menjalani pemeriksaan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan).

Menurut Safura, doktor menemui ketumbuhan kecil pada paru-paru Sahronizam yang memerlukan prosedur pembedahan kecil bagi membuang serpihan berkenaan.

“Doktor dapati ada sel kanser yang sudah merebak ke paru-paru. Ketumbuhan itu tidak besar, tetapi perlu dibuang menerusi pembedahan kecil.

“Selepas itu, doktor akan lihat semula keputusannya. Kalau sel kanser masih aktif, mungkin abang perlu jalani rawatan lain kerana penyakit ini bukan mudah untuk dihapuskan sepenuhnya.

“Apa pun kami hanya mampu bertawakal dan berserah kepada Allah,” katanya.

Tahun lalu, Sahronizam disahkan menghidap kanser tulang rawan tahap tiga selepas mengadu sakit belakang berpanjangan.

Aktor itu kemudiannya menjalani pembedahan membuang tumor pada bahagian kanan belakang badan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 29 Oktober lalu selepas pemeriksaan dilakukan di Hospital Ampang.

Berkongsi keadaan terkini suaminya, Safura bersyukur kerana Sahronizam masih kuat dan kekal positif meskipun sedang berdepan ujian besar dalam hidupnya.

Malah, katanya, semangat itu menjadi antara faktor yang membantu suaminya terus bertahan dan menjalani kehidupan seperti biasa termasuk kembali bekerja di lokasi penggambaran.

“Alhamdulillah dia masih okay dan terus bekerja. Selepas pembedahan tempoh hari pun dia tetap pergi shooting.

“Saya ada pesan supaya jangan terlalu memaksa diri sebab kesihatan lebih penting. Tapi dia kata kalau duduk rumah sahaja, lagi dia rasa lemah dan tertekan.

“Pesakit kanser memang tak boleh terlalu stres. Bila bekerja dan jumpa kawan-kawan, sekurang-kurangnya emosi dia lebih baik,” jelasnya lagi.

Di sebalik ketabahan ditunjukkan Sahronizam, Safura mengakui ada waktunya suaminya terpaksa menanggung kesakitan sendirian terutama di bahagian pembedahan.

Menurutnya, suaminya juga tidak terlalu gemar bergantung kepada ubat tahan sakit kecuali ketika benar-benar tidak mampu menahan kesakitan.

“Kadang-kadang saya nampak dia tahan sakit sendiri. Bila saya tanya mahu makan ubat atau tidak, dia lebih suka bertahan.

“Untuk kanser ini bukannya ada ubat penyembuh, cuma ubat tahan sakit sahaja. Dia hanya makan bila terlalu sakit.

“Saya cuma berharap sel kanser itu berhenti merebak kerana saya tahu bukan mudah untuk seseorang melawan penyakit ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Related Articles

Back to top button