Berita

Perekrut Pekerjaan Singapura Dakwa Gen-Z Kurang ‘Lapar’ Ketika Bekerja Cetus Perdebatan Netizen

Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, ribuan individu bersaing untuk kerjaya yang sama, menjadikan peluang kejayaan untuk memburu kerja impian semakin tipis.

Seorang perekrut dari Singapura baru-baru ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial selepas mendakwa syarikat di negara itu kini lebih cenderung mengambil pekerja asing berbanding rakyat tempatan kerana kurangnya ‘semangat’ atau ‘dorongan’ untuk bekerja.

Perdebatan tersebut tercetus daripada sebuah episod podcast CNA yang menampilkan panel jemputan Shulin Lee, bekas peguam yang kini pengasas Aslant Legal, serta Edwin Tan, Pengarah Pusat di Institute for Adult Learning Singapore.

Episod tersebut membincangkan mengapa pekerja muda memilih untuk meninggalkan kerjaya stabil selepas hanya beberapa tahun.

Apabila ditanya tentang nasihat kepada pekerja muda di Singapura, Lee berkata mereka perlu menjadi sedikit lebih paranoid terhadap masa depan.

“Syarikat-syarikat yang saya bekerjasama sekarang sedang menggantikan pekerja Singapura dengan mengambil pekerja dari Malaysia, Vietnam dan FIlipina.

“Ia bukan semestinya kerana mereka lebih mahir, tetapi kerana mereka lebih ‘lapar’. Dan ‘kelaparan’ itu kini sukar diganti,” katanya.

Lee turut menggesa agar individu memberi lebih perhatian kepada kemahiran membina hubungan, sambil menambah bahawa tiada jumlah kelas tambahan yang mampu menjadikan anak-anak saya lebih bijak daripada AI.

Dia juga meluahkan kebimbangan terhadap ketidakupayaan calon muda untuk berkomunikasi dengan baik ketika sesi temu duga.

“Perkara yang menakutkan sekarang ialah ramai Gen-Z… mereka tidak mampu membawa perbualan atau menjelaskan apa yang mereka lakukan kepada orang asing. Itu sangat membimbangkan,” kongsi Lee.

Sementara itu, Tan menasihatkan majikan agar lebih memahami aspirasi serta kemahiran pekerja mereka.

Kenyataan Lee bagaimanapun menerima kritikan daripada sebahagian netizen yang menyifatkannya sebagai mengukuhkan budaya kerja toksik yang menuntut kerja berlebihan dengan ganjaran yang tidak setimpal.

Lee kemudian tampil menjawab kritikan tersebut menerusi video di Instagram, menyatakan bahawa reaksi negatif itu berlaku kerana kenyataannya menyentuh sensitiviti sesetengah pihak yang enggan menerima realiti.

Dia turut menambah bahawa beliau sendiri menyaksikan pekerja bukan sahaja dari negara membangun, malah dari New Zealand, Hong Kong dan China lebih menjadi pilihan berbanding rakyat Singapura.

“Kita semua perlu sedikit lebih ‘paranoid’ memandangkan seluruh dunia sedang mengalami perubahan besar. Apa yang membuatkan anda fikir pekerjaan, perniagaan atau kerjaya anda tidak akan terjejas?

“Saya risau tentang sumber rezeki saya, dan anda juga sepatutnya begitu. Jika anda terasa, tanya diri sendiri: adakah kerana saya menyentuh sesuatu yang benar? Mungkin suatu hari nanti, anda akan berterima kasih kepada saya,” katanya.

Related Articles

Back to top button