Radin Pandai Ambil Hati Tiga Anak Tiri

Penyampai radio, Radin mengakui tertarik dengan keperibadian Amirah yang disifatkan jujur dan ikhlas, selain memiliki aura tersendiri di sebalik penampilan yang lemah lembut.
Katanya, status Amirah sebagai ibu tunggal kepada tiga cahaya mata bukan penghalang, sebaliknya dia menerima perkara itu dengan hati terbuka.
“Saya terus terang, Mira seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga anak. Tetapi itu bukan halangan buat saya.
“Saya tertarik dengan keperibadiannya. Di sebalik sifat lembut dan sopan, dia ada karakter yang sangat menarik,” ujarnya.
Sementara itu, Amirah yang juga seorang peguam menyifatkan sikap penyayang dan keikhlasan Radin sebagai faktor utama dia jatuh hati.
Menurutnya, Radin bukan sahaja mudah didekati, malah bijak mengambil hati anak-anaknya sehingga mereka selesa dan gembira apabila bersama.
“Radin sangat baik dengan semua orang. Dia sentiasa utamakan orang lain terlebih dahulu.
“Anak-anak pun sangat seronok bila bersama dia. Dia seorang yang penyayang dan mudah menyesuaikan diri,” katanya.
Dalam masa sama, Radin mengakui dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan dalam masa sama menjadi figura bapa kepada tiga anak isterinya.
Baginya, peranan tersebut bukan satu beban, sebaliknya satu amanah baharu yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.
“Saya ada Mira yang akan bersama-sama saya dalam mengharungi kehidupan ini bersama anak-anak.
“Saya tidak pernah anggap ini sebagai beban, tetapi satu tanggungjawab yang perlu saya pikul dengan sebaiknya,” katanya.
Pasangan itu selamat melangsungkan pernikahan pada 1 Mei lalu.



