Trending

“Nak Kahwin, Solat Lima Waktu Selama 40 Hari Berturut-Turut Belakang Imam”

Pelakon dan penyanyi Alif Satar, 36, berkongsi pandangan tentang kepentingan asas agama dalam memilih pasangan hidup, khususnya buat anak perempuan, berbanding meletakkan harta sebagai ukuran utama.

Menurut Alif, perkara itu tercetus selepas dia mendengar kisah seorang kenalan yang juga ustaz ketika menetapkan syarat buat bakal menantu.

“Baru-baru ini anak seorang ustaz berkahwin. Kami tanya bagaimana dia memilih calon suami untuk anaknya dan memastikan lelaki itu benar-benar ikhlas.

“Sebelum berkongsi syarat, ustaz itu mengingatkan tentang satu hadis, jika seseorang menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di belakang imam selama 40 hari berturut-turut, dia akan dijauhkan daripada sifat munafik,” katanya menerusi sebuah hantaran.

Tambahnya, ustaz berkenaan menetapkan syarat kepada lelaki tersebut sebagai bukti kesungguhan untuk berkahwin.

“Dia kata, kalau nak kahwin dengan anaknya, perlu solat lima waktu di masjid selama 40 hari berturut-turut di belakang imam. Sebagai bukti, perlu ambil gambar setiap kali hadir, dari Subuh hingga Isyak,” jelasnya.

Menurut Alif, lelaki itu berjaya memenuhi syarat tersebut dengan penuh komitmen sebelum akhirnya disatukan dengan wanita pilihannya.

“Budak itu memang bersungguh-sungguh. Dia lakukan semuanya dengan konsisten dan akhirnya berjaya berkahwin,” ujarnya.

Dalam masa sama, Alif melihat pendekatan tersebut sebagai sesuatu yang wajar dijadikan contoh, terutama buat golongan bapa dalam membimbing masa depan anak perempuan.

“Saya rasa ini satu kaedah yang baik. Kita tak perlu jadikan wang sebagai ukuran. Bukan datang kata ada duit banyak dan terus nak kahwin. Saya pun ada duit, tapi persoalannya bagaimana awak nak bimbing anak saya?” katanya.

Alif turut menekankan peranan ibu bapa dalam mendidik anak perempuan agar mengenal nilai diri serta kepentingan menjaga solat.

“Sebagai bapa, kita kena didik anak perempuan supaya tahu harga diri dan mampu berdikari. Tapi yang paling penting, sebelum kita letak syarat kepada orang lain, pastikan kita sendiri sudah melaksanakannya terlebih dahulu,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button