Amira Othman Umum Bersara Berlakon

Penyanyi dan pelakon, Amira Othman, 32, mengambil keputusan drastik apabila memilih untuk meninggalkan dunia lakonan demi memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya nyanyian.
Amira mengakui bidang lakonan bukanlah kekuatan utamanya dan dia tidak mempunyai bakat semula jadi dalam cabang seni tersebut.
“Secara jujurnya, saya memang sudah tidak aktif berlakon. Saya ambil keputusan untuk berhenti sepenuhnya daripada dunia lakonan,” katanya.
Bagaimanapun, Amira menjelaskan dia masih terlibat dalam beberapa projek lakonan berskala kecil, khususnya bagi memenuhi komitmen sebagai duta produk bersama suaminya, Fattah Amin.
“Saya hanya berlakon untuk projek UTV kerana kami adalah duta Amber. Itu sebahagian daripada tanggungjawab kerja.
“Lagipun dapat berlakon bersama suami, jadi lebih mudah dan saya anggap itu sebagai rezeki,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Amira berkata keputusan tersebut dibuat selepas dia menyedari minat sebenar lebih cenderung kepada bidang nyanyian berbanding lakonan.
“Saya rasa saya tidak begitu mahir berlakon dan minat itu pun tidak terlalu mendalam.
“Kalau sekadar watak komedi ringan mungkin boleh, tapi untuk watak berat, biarlah diberikan kepada mereka yang lebih berbakat,” jelasnya.
Tambah Amira, pengalaman berlakon sebelum ini dianggap sebagai satu fasa pembelajaran untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya seninya.
Namun, kekangan masa serta tempoh penggambaran yang panjang menjadi antara faktor utama dia mengambil keputusan untuk tidak lagi aktif dalam bidang tersebut.
“Kita tahu berlakon, terutama drama bersiri, memang mengambil masa yang panjang. Saya sangat hormat pelakon yang mampu bertahan di set berbulan-bulan.
“Kalau menyanyi, satu persembahan mungkin hanya setengah jam. Jadi, lebih baik saya fokus kepada apa yang benar-benar saya minati,” katanya lagi.



