“Ramai Ingat Saya Rangkul Pinggang Shermaine, Tapi Tidak”

Penyanyi, Syamel, 33, tampil memberi penjelasan berhubung video tular yang memaparkan adegan seolah-olah berlaku sentuhan fizikal dalam muzik video (MV) terbaharunya berjudul Pertama, yang mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan netizen.
Menurut Syamel, perkara pertama yang dilakukannya sebaik isu itu timbul adalah menghubungi isterinya, Ernie Zakri, bagi mendapatkan pandangan serta menjelaskan situasi sebenar.
“Saya terus hubungi isteri dan kami tengok semula klip itu bersama. Sebenarnya tiada sentuhan pun berlaku, ia hanya permainan sudut kamera,” jelasnya.
Tambahnya, ramai yang membuat andaian tanpa meneliti video tersebut secara lebih dekat, sehingga timbul salah faham mengenai babak berkenaan bersama finalis Dewi Remaja 2025, Shermaine Alexander.
“Ramai ingat saya pegang atau rangkul pinggang, tetapi kalau diperhatikan betul-betul, memang tidak ada sentuhan. Saya sendiri hubungi Shermaine untuk pastikan dan dia turut mengesahkan perkara sama,” katanya.
Walaupun menganggap isu tersebut berpunca daripada salah tafsir visual, Syamel tetap mengambil pendekatan terbuka dengan memohon maaf sekiranya babak itu menimbulkan rasa kurang selesa kepada penonton.
“Saya minta maaf jika ada yang tidak senang dengan paparan itu. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” ujarnya.
Sebelum ini, video pendek di sebalik tabir penggambaran dalam lif yang dikongsikan di Threads mencetuskan kecaman, apabila ada pihak menyangka wujud aksi tidak sesuai antara Syamel dan Shermaine dalam MV tersebut.



