Concert

Aishah Menangis Dapat Tahu Tiket Konsert Disabotaj

Penyanyi, Datuk Aishah, 61, meluahkan rasa kecewa apabila penjualan tiket konsert istimewanya, Aishah 40 Chapters Of Love, didakwa berdepan unsur sabotaj sejurus dilancarkan pada 17 April lalu.

Menurut Aishah, beberapa peminat memaklumkan mereka gagal mendapatkan tiket walaupun sudah menunggu lama sebaik jualan dibuka di platform tempahan dalam talian berkenaan.

Situasi itu mendorong pihak pengurusannya mengambil keputusan untuk menukar kepada platform jualan tiket tempatan yang lain demi memastikan kelancaran proses pembelian.

“Bila saya mula-mula tahu, saya memang menangis. Kami semua sudah bekerja keras untuk menjayakan konsert ini, terutama pasukan pengurusan.

“Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan dan peminat sendiri yang tidak berjaya mendapatkan tiket. Mereka sanggup beratur secara maya selama berjam-jam, tetapi apabila tiba giliran, paparan menunjukkan tiket sudah habis dijual,” katanya.

Tambah Aishah, insiden tersebut amat mengejutkan memandangkan konsert itu merupakan impian yang telah lama dipendamnya.

“Sudah bertahun-tahun saya menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert ini. Bila perkara seperti ini berlaku, memang terkejut. Namun saya percaya setiap yang terjadi ada hikmah di sebaliknya,” ujarnya lagi.

Walaupun berdepan situasi kurang menyenangkan, Aishah memilih untuk tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, malah tidak bercadang mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Saya tidak mahu dedahkan siapa yang terlibat. Buat masa ini, saya hanya mahu teruskan perjalanan dan fokus kepada konsert.

“Masa yang tinggal hanya sekitar dua bulan dan terasa sangat singkat. Saya juga tidak mahu terus dikuasai rasa marah, jadi saya cuba kawal emosi,” jelasnya.

Dalam masa sama, Aishah menggesa peminat yang sebelum ini tidak berjaya mendapatkan tiket agar mencuba semula melalui platform baharu kerana jualan kini telah dibuka.

Konsert Aishah 40 Chapters Of Love dianjurkan bersempena empat dekad perjalanan seni Aishah, termasuk pengalaman melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa seperti di New Zealand dan Amerika Syarikat sekitar era 1980-an.

Konsert berkenaan dijadual berlangsung di Megastar Arena, Bukit Bintang pada 4 Julai 2026.

Related Articles

Back to top button