Berita

Isu Penumpang Amuk Dalam Pesawat AirAsia, Tony Fernandes Bersuara

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes, tampil memberikan respon terhadap insiden dramatik yang berlaku dalam salah satu penerbangan syarikat itu di Chongqing, China baru-baru ini.

Dalam satu video yang dikongsikan di Instagram, usahawan Malaysia Winnie Loo dilihat berbual bersama Tony ketika berada dalam pesawat, di mana Winnie dilihat berbual mengenai insiden tersebut.

Menurut Winnie, kru kabin AirAsia yang terlibat telah mengendalikan situasi dalam pesawat dengan baik.

Tony bersetuju, sambil menyatakan rasa bangga terhadap pasukannya dalam menguruskan situasi itu, serta menegaskan detik seperti itu dapat memperlihatkan kekuatan sebenar seorang kru kabin.

Beliau menjelaskan, walaupun tugas tersebut kelihatan mudah ketika semuanya berjalan lancar, kemampuan sebenar kru hanya benar-benar terserlah apabila berdepan situasi mencabar.

“Apabila perkara tidak berjalan seperti dirancang, di situlah kita dapat melihat sama ada kru benar-benar hebat… dan saya rasa mereka telah melakukannya dengan sangat baik. Saya sangat bangga dengan mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Tony turut mengakui yang berdepan dengan penumpang boleh menjadi satu cabaran, memandangkan ada yang mungkin bertindak agresif.

Begitupun, Tony menegaskan kru kabin kekal tenang dan profesional sepanjang insiden tersebut, yang menurutnya mencerminkan tahap latihan dan disiplin mereka.

Dalam perbualan itu, Winnie turut memuji Tony dengan menyatakan budaya perkhidmatan syarikat penerbangan tersebut mungkin berpunca daripada gaya kepimpinannya.

Winnie menyifatkan Tony sebagai seorang yang merendah diri, sering berinteraksi dengan penumpang, berjabat tangan, malah membantu kru mengutip sampah dalam pesawat.

Tony kemudian mengakhiri video tersebut dengan mengakui yang industri penerbangan kini sedang melalui tempoh mencabar, khususnya berikutan kenaikan harga minyak.

Namun, Tony memberi jaminan bahawa AirAsia akan terus menyesuaikan diri dan bergerak ke hadapan.

“Ia memang waktu yang sukar sekarang… tetapi kami akan sentiasa mencari jalan.”

Related Articles

Back to top button