‘Ini Bukan Sekadar Lagu Tapi Sebuah Rintihan Jiwa’

Gandingan serasi Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa sekali lagi mencuri perhatian industri muzik tempatan menerusi single terbaharu mereka, Menduakan Cinta.
Kali ini, duo ini tampil dengan pendekatan yang lebih matang, mempertaruhkan balada sarat emosi yang mengetengahkan kekuatan vokal serta kepekaan puitis masing-masing. Lagu ini dilihat sebagai evolusi seni mereka, berbanding karya-karya terdahulu.
Sebelum ini, mereka pernah meraih perhatian ramai menerusi rakaman semula lagu Buat Insan Tersayang yang dipopularkan oleh Eddie Hamid dan Ashira, malah berjaya mencatat lebih sejuta tontonan di YouTube.
Untuk projek terbaharu ini, Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa sekali lagi mendapat sentuhan komposer tersohor, Eddie Hamid, yang memberikan kepercayaan penuh kepada mereka dalam menghidupkan emosi lagu tersebut.
“Kali ini, kami menguji keserasian dalam genre yang berbeza. Ia bukan sekadar lagu, tetapi sebuah rintihan jiwa.
“Menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus bagi memastikan naskhah ini benar-benar sampai ke hati pendengar,” ujar Ahmad Syafiq.

Selain Eddie Hamid, lagu ini turut dihasilkan bersama Barr Hadif dan Aiman Zaidi, manakala liriknya ditulis oleh mereka bertiga bersama Hakim Hakimi dan Jaju.
Secara keseluruhannya, Menduakan Cinta membawa pendengar menyelami konflik dua insan yang masih saling mencintai, namun terpaksa menerima hakikat perpisahan. Ia mengangkat realiti pahit apabila cinta tidak lagi mampu dipertahankan dek ketentuan takdir.
“Lagu ini menyentuh perasaan bersalah apabila seolah-olah ‘menduakan cinta’ yang pernah dibina. Walaupun perasaan sayang itu masih kuat, pilihan untuk berpisah terpaksa dibuat demi kebaikan semua pihak,” tambah Wawa Shazwa.
Menariknya, Wawa tetap memberikan komitmen penuh ketika proses rakaman walaupun sedang hamil lima bulan dan itu merupakan satu pengorbanan yang menambahkan lagi nilai emosi pada lagu ini.
Dari sudut produksi, proses rakaman dilakukan sebanyak dua kali bagi memastikan kualiti terbaik dapat dicapai. Kerjasama erat antara artis dan pasukan produksi, ditambah dengan arahan jelas daripada Eddie Hamid, membantu menyempurnakan hasil akhir lagu ini.
Lebih istimewa, Menduakan Cinta turut dipilih sebagai lagu runut bunyi (OST) untuk drama bersiri Bayangan Lelaki Sempurna yang kini ditayangkan dalam slot Akasia di TV3 pada pukul7 malam.
Drama 28 episod itu menampilkan barisan pelakon popular seperti Adam Lee, Sweet Qismina dan Nadia Brian.



