Bayaran Konsert UNIC Dakwa Belum Selesai, Fitri Haris Buat Laporan Polis

Anggota kumpulan nasyid UNIC, Fitri Haris membuat laporan polis susulan dakwaan bayaran persembahan yang masih belum dilunaskan sepenuhnya selepas konsert This Is UNIC yang berlangsung Disember tahun lalu.
Menurut Fitri, meskipun lebih empat bulan berlalu sejak konsert itu diadakan di Idea Live Arena, Petaling Jaya, masih terdapat baki bayaran yang belum diselesaikan oleh pihak penganjur.
Fitri memaklumkan laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat beberapa bulan lalu sebelum dia berangkat ke United Kingdom bagi urusan lanjut.
“Berkenaan konsert This Is UNIC di Idea Live, urusan lain masih dalam proses termasuk notis tuntutan (LOD) dan atas budi bicara kami.
“Konsert sudah berlalu lebih empat bulan, namun bayaran masih belum diselesaikan sepenuhnya. Satu laporan polis dibuat beberapa bulan lalu sebelum saya berangkat ke UK bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam sebuah hantaran.
Dalam masa sama, Fitri turut mendakwa pihak penaja telah melunaskan bayaran mereka, termasuk dana tajaan dan hasil jualan tiket, namun perkara itu tidak sampai sepenuhnya kepada pihak artis.
“Penaja sudah selesai, duit diambil termasuk tajaan dan tiket. Kami pula bekerja siang dan malam untuk menghiburkan serta berkongsi kebaikan.
“Saya berharap pihak penganjur dapat menyelesaikan perkara ini dengan segera. Saya masih ada pertimbangan terhadap mereka, jadi selesaikan secepatnya. Insya-Allah notis seminggu,” ujarnya lagi.
Tambahnya, laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Bangi dan kini dia menunggu perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa.
Konsert This Is UNIC: Live In Concert merupakan persembahan berskala besar bagi meraikan lebih dua dekad perjalanan UNIC dalam industri nasyid sejak penubuhannya pada 2002.



