Bawa Kelainan, Kata Hati Angkat Kisah ‘Modern Fairy Tale’

Mahu mencari kelainan selain menyuntik pelbagai elemen dalam satu karya menjadi kekuatan kepada filem Kata Hati. Filem yang digarap menggabungkan elemen percintaan, humor dan realiti kehidupan moden begitu menarik untuk diperkatakan.
Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn Bhd. itu adalah sebuah karya santai dan menghiburkan, namun berkembang menjadi sebuah cerita yang lebih mendalam tentang kehidupan dan pilihan hati.
Penerbitnya, Muhammad Bahir berkata, filem berkenaan bukan sebuah kisah cinta semata-mata, tetapi memaparkan realiti yang berlaku dalam dunia sebenar kehidupan seorang selebriti popular.
“Idea menghasilkan Kata Hati muncul apabila sepanjang bekerja dalam industri ini, kami berpeluang bertemu ramai selebriti dan tertarik melihat perbezaan antara persona yang mereka tunjuk di depan kamera dengan kehidupan sebenar di sebalik lensa.
“Jadi kami mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah kisah di sebalik dunia glamor seorang selebriti itu dan disulami dengan sebuah jalan cerita yang mampu menghiburkan penonton,” ujarnya.
Diarahkan oleh Nadiah Hamzah, filem Kata Hati yang bergenre romantik komedi itu mengangkat kisah tentang percintaan yang terjalin antara seorang pelakon wanita popular dengan pemandu e-hailing.

Menariknya, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon sedang meningkat naik sebagai teraju utama iaitu Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris, bergandingan dengan nama-nama yang cukup popular seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.
Apa yang lebih menarik lagi, Kata Hati turut diserikan lagi dengan penampilan ‘cameo’ beberapa pelakon popular tanah air seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.
Sementara itu, Juliana Foo selaku penerbit eksekutif pula menyatakan filem tersebut sesuai untuk dihasilkan buat masa ini memandangkan penonton sudah terlalu banyak dihiburkan dengan naskhah yang bercorak aksi dan seram.
Jelasnya, genre sedemikian juga sudah lama tidak diketengahkan, sedangkan masih ada ramai dalam kalangan penonton yang merindui cerita cinta yang ringan dan menghiburkan.
“Ternyata Kata Hati hadir sebagai sebuah filem ‘modern fairy tale’ dengan elemen ‘high-stakes romance’ serta memberikan momen yang indah dan tersendiri buat mereka yang menontonnya nanti di pawagam,” jelasnya.
Nadiah Hamzah selaku pengarah menjelaskan antara tarikan pada naskhah terbaharu itu adalah ia menjanjikan pelbagai rencah dan rasa, lalu disatukan dalam sebuah penceritaan yang cukup menarik dan unik.

Ujarnya, setelah menghasilkan filem yang agak berat iaitu Motif sebelum ini, dia memang berniat untuk mengarahkan sebuah filem cinta ringan yang boleh membuatkan penonton bergelak ketawa sambal menangis di pawagam.
“Berkenaan dengan pemilihan pelakon pula, Nia, Yusof dan Fazziq dipilih menerusi sesi casting dan tidak dinafikan mereka antara pendatang baharu dalam dunia layar lebar.
“Namun begitu, apa yang paling mengejutkan buat saya adalah kesungguhan mereka untuk memberikan sebuah lakonan yang mantap dan komitmen ketiga-tiganya memang wajar dipuji,” jelasnya.
Sebagai pengarah, Nadiah berharap penonton dapat merasai sendiri keindahan dan kejujuran dalam kisah cinta yang dipaparkan dalam filem ini.
“Sudah tentu saya mahu penonton datang beramai-ramai untuk meraikan sebuah kisah cinta manusiawi yang bukan biasa-biasa.
“Apa yang boleh saya katakan, ia bakal menyentuh emosi melalui tangisan dan gelak ketawa dan mengingatkan kita semua tentang kemanisan bercinta,” ujarnya.



