Kes Anak Ako Mustapha Dibuli Dapat Perhatian Menteri Pendidikan

Pelakon, Ako Mustapha, 51, memaklumkan isu anaknya yang didawak menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di Wangsa Maju mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ako berkata, siasatan kes berkenaan masih berjalan dengan kerjasama pihak polis, sekolah serta individu berkaitan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Kami menunggu pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh kerana perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Mesyuarat bersama semua pihak berkaitan juga akan diadakan.
“Saya difahamkan Menteri Pendidikan sendiri akan hadir untuk turut serta dalam perbincangan itu.
“Disebabkan perkara ini semakin mendapat perhatian, saya dimaklumkan Menteri Pendidikan akan hadir ke sekolah esok untuk bertemu semua pihak yang terbabit,” katanya.
Mengulas keadaan anaknya, Ako bersyukur Mikael Iskandar berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan, namun mengakui terdapat kesan lain yang dikesan hasil pemeriksaan lanjut.
“Alhamdulillah anak saya okay. Di hospital pun dia sudah dapat kawan baharu dan bermain bersama.
“Bagaimanapun, pakar psikologi kanak-kanak memaklumkan walaupun pada awalnya kelihatan normal, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lebam lain yang sebelum ini tidak disedari.
“Selain itu, dia juga mengalami sedikit fobia serta trauma psikologi akibat kejadian itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ako turut mendedahkan bahawa setakat ini masih belum ada sebarang pertemuan atau komunikasi daripada ibu bapa pelaku yang terlibat.
“Setakat ini, ibu bapa pelaku masih belum berjumpa atau menghubungi saya. Namun, pegawai penyiasat sangat komited memastikan siasatan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Selepas laporan dibuat, pegawai penyiasat segera menghubungi semua pihak berkaitan walaupun pada awal pagi. Saya hanya mengikuti nasihat pihak polis kerana mereka lebih arif mengendalikan kes seperti ini.
“Mereka juga akan menjelaskan prosedur, syarat serta implikasi undang-undang yang terbabit,” katanya.
Terdahulu, Ako mendedahkan insiden tersebut menerusi hantaran di Threads, memaklumkan anaknya didakwa dibuli oleh lima pelajar, termasuk dua pelajar senior dan tiga rakan sekelas.
Kejadian itu hanya disedari selepas anaknya pulang dari sekolah sebelum menunjukkan kesan kecederaan pada badan.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan kini sedang menjalankan siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman dilaporkan berkata, kes tersebut masih dalam siasatan bagi mengenal pasti tindakan susulan yang sewajarnya.



