Music

“Saya Bermula Dengan Kewangan Yang Kosong”

Penyanyi, Shila Amzah, 36, mengakui perjalanan sebagai artis bebas bukan sesuatu yang mudah meskipun berjaya menamatkan siri jelajahnya di China dengan penuh gemilang.

Menurut pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah, dia masih memerlukan sokongan berterusan daripada peminat bagi memastikan perjalanan kerjaya seninya terus kukuh, khususnya untuk album dan penganjuran konsert.

“Saya masih seorang artis independen dan sangat mengharapkan sokongan semua untuk album serta konsert.

“Selepas 25 tahun dalam industri, saya masih berdepan cabaran tersendiri. Ada ketika rasa hampir putus asa, tapi sayang untuk berhenti selepas segala usaha yang telah saya lakukan,” kongsinya dalam sebuah hantaran.

Luahan tersebut dibuat sejurus dia melengkapkan siri jelajah Shila Amzah Livehouse Tour 2026 dengan persembahan penutup di Nanjing, China.

Dalam masa sama, Shila turut mengimbau detik awal pembabitannya dalam dunia seni yang bermula tanpa sokongan kewangan kukuh, namun berjaya ditempuhi dengan penuh kesabaran.

“Saya bermula dengan kewangan yang kosong, jadi saya sangat bersyukur dengan apa yang ada hari ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai konsert istimewa, Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories yang bakal berlangsung pada 9 Mei ini, Shila berkata dia terlibat secara langsung dalam setiap perincian termasuk dari segi perancangan dan produksi.

Menurutnya, konsert tersebut dibiayai menggunakan dana sendiri dan dia berusaha keras untuk memberikan yang terbaik kepada peminat.

“Saya buat persembahan sambil mengumpul dana untuk pastikan konsert ini jadi yang terbaik, sebab saya terlibat dalam semua aspek produksi,” katanya.

Terdahulu, nama Shila mula meledak di China selepas menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 di Shanghai, sekali gus membuka laluan untuknya mencipta fenomena tersendiri di negara tersebut.

Related Articles

Back to top button