Trending

Ira Kazar Tak Trauma Untuk Berkahwin Lagi, Sudah ‘Kebal’ Dengan Tohmahan Netizen

Pempengaruh, Ira Kazar, 31, mengakui dirinya kini semakin kebal berdepan kecaman netizen selepas sering diasak dengan pelbagai gelaran panas termasuk ‘penyondol’.

Bekas isteri kepada Syamsul Yusof itu berkata, dia tidak mempunyai kuasa untuk mengawal percakapan orang lain dan memilih untuk tidak terlalu memikirkan setiap kata negatif yang dilemparkan kepadanya.

Ira berkata kebanyakan komen yang diterima adalah berulang, sekali gus membuatkan dirinya semakin ‘imun’.

“Saya dah imun, mungkin sebab kebanyakan ayat netizen sama sahaja. Tapi ada hari mood tak begitu baik, tetap terkesan juga bila membaca.

“Tapi saya ambil pendekatan untuk abaikan dan alihkan perhatian kepada perkara lain,” katanya.

Menurut Ira, dia biasanya akan mencari ketenangan dengan meluangkan masa bersama keluarga, khususnya bermain dengan anak saudara yang disifatkan mampu meredakan tekanan.

“Saya akan pergi kepada kakak atau keluarga, atau bermain dengan anak buah kerana mereka masih suci. Lepas bersama mereka, perasaan itu terus hilang,” ujarnya.

Berkongsi mengenai kehidupan peribadi, Ira mendedahkan dia kini masih solo dan belum menemui insan istimewa.

Jelasnya, dia bukan serik untuk kembali berumah tangga, namun pengalaman lalu membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup.

“Saya tidak memilih rupa, cukuplah sedap mata memandang, bijak dan tahu mengawal situasi terutama ketika berdepan konflik. Kalau boleh bukan orang industri, orang biasa pun tidak mengapa,” katanya lagi.

Tambah Ira, setiap pengalaman yang dilalui sebelum ini menjadi pengajaran berharga untuknya lebih teliti menilai seseorang sebelum membuat keputusan besar.

“Saya tidak serik kerana setiap manusia berbeza, tak boleh anggap semua lelaki sama. Cuma sekarang saya lebih berhati-hati dan akan melihat latar belakang terlebih dahulu,” jelasnya.

Untuk rekod, Ira pernah mendirikan rumah tangga dengan Syamsul pada 6 Januari 2023 di selatan Thailand sebelum mendaftarkan perkahwinan mereka pada 20 Januari tahun sama. Namun, hubungan tersebut tidak berkekalan apabila mereka sah bercerai pada 5 September 2024.

Related Articles

Back to top button