Kanye West Tak Boleh Masuk UK Sebab ‘Puja’ Hitler

Kerajaan United Kingdom (UK) menyekat kemasukan rapper Kanye West bagi penyertaannya dalam Wireless Festival di London, susulan kecaman terhadap kenyataan antisemitik yang pernah dikeluarkannya sebelum ini.
Perdana Menteri UK, Keir Starmer berkata, rapper itu sepatutnya tidak dijemput sejak awal lagi.
“Kanye West tidak sepatutnya dijemput untuk menjadi artis utama Wireless.
“Kerajaan ini berdiri teguh bersama komuniti Yahudi dan kami tidak akan berhenti dalam usaha menentang serta menghapuskan racun antisemitisme,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Penganjur memaklumkan mereka telah berunding dengan pihak berkepentingan sebelum mengesahkan Kanye sebagai artis utama. Menurut mereka, tiada kebimbangan dibangkitkan pada ketika itu.
Namun, mereka akhirnya membuat keputusan untuk membatalkan acara tersebut.
“Antisemitisme dalam apa jua bentuk adalah sesuatu yang menjijikkan dan kami mengakui kesan sebenar serta peribadi yang dialami akibat isu ini,” kata penganjur dalam satu kenyataan.
Menurut Associated Press (AP), penaja termasuk Pepsi, Rockstar Energy dan Diageo dilaporkan telah menarik diri lebih awal selepas Kanye West diumumkan sebagai artis utama.
Pengarah urusan Festival Republic, Melvin Benn sebelum ini menggesa orang ramai agar memberi peluang kedua kepada artis tersebut.
“Kami tidak memberi platform untuk beliau menyuarakan pandangan tertentu, sebaliknya hanya untuk mempersembahkan lagu-lagu yang kini dimainkan di stesen radio negara ini,” katanya.
Bekas suami Kim Kardashian itu dilaporkan telah memohon kebenaran perjalanan elektronik untuk memasuki UK, namun menurut Home Office, permohonannya ditolak kerana kehadirannya dianggap tidak kondusif kepada kepentingan awam.
Kanye menerima kritikan hebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini berhubung kenyataan antisemitik dan pro-Nazi, termasuk kenyataannya pada 2022. Menurutnya, dia melihat perkara baik dalam diri Hitler.
Pada Mei 2025, dia turut melancarkan lagu berjudul Heil Hitler serta menjual barangan yang memaparkan simbol swastika. Begitupun, dia memohon maaf menerusi sepucuk surat yang diterbitkan dalam The Wall Street Journal awal tahun ini.
Sebelum keputusan sekatan perjalanan diumumkan, Kanye menyatakan hasrat untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti Yahudi.
“Saya berbesar hati jika diberi peluang untuk bertemu dengan komuniti Yahudi di UK secara bersemuka, untuk mendengar,” katanya.
Festival muzik Wiresless Festival yang sepatutnya menampilkan Kanye sebagai artis utama dan dijadualkan berlangsung selama tiga hari di London, turut dibatalkan.
Penganjur festival berkenaan memaklumkan pemegang tiket akan menerima bayaran balik susulan keputusan tersebut, lapor BBC.
Festival tersebut sepatutnya menjadi persembahan pertama Kanye di UK dalam tempoh lebih sedekad.
Sumber: Mothership



