“Saya Nampak Perubahan Positif Pada Diri Syamsul” – Yusof Haslam

Penerbit, Datuk Yusof Haslam, 71, memaklumkan anak lelakinya, Syamsul Yusof sudah kembali bersama keluarga sejak kira-kira tiga bulan lalu, sekali gus menjawab persoalan ramai selepas kemunculannya ketika Aidilfitri baru-baru ini.
Menurut Yusof, kepulangan Syamsul tidak dihebahkan sebelum ini dan hanya menjadi perhatian apabila isterinya, Datin Patimah Ismail merakam momen mereka sekeluarga pada pagi 1 Syawal.
“Alhamdulillah, Syamsul sudah tiga bulan balik ke rumah, cuma kami tidak kongsikan. Kebetulan pada hari raya, isteri saya ambil gambar.
“Saya nampak perubahan positif pada dirinya. Dia juga sudah mula kembali bersemangat,” katanya.
Dalam masa sama, Yusof turut menitipkan nasihat agar anaknya itu terus bangkit dan tidak mensia-siakan bakat besar yang dimiliki dalam industri perfileman.
“Allah sudah kurniakan bakat yang besar, jadi jangan sia-siakan. Pandang ke depan, teruskan perjuangan dan jangan mudah mengalah.
“Kita tidak boleh halang apa orang nak kata, jadi tidak perlu menyisihkan diri,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, dia dan isteri berasa lega dan bersyukur melihat perubahan yang ditunjukkan Syamsul yang kini dilihat lebih positif dan terbuka.
Mengulas mengenai perkembangan kerjaya, Yusof berkata Syamsul juga sudah mula merancang untuk menyambung semula beberapa projek filem yang sebelum ini tergendala.
“Dia mahu siapkan filem The Original Gangster yang sudah tertangguh hampir tiga tahun dan disasarkan siap tahun ini.
“Selain itu, filem Khawarij terbitan Astro Shaw bersama Skop Production juga dijangka disiapkan tahun ini dan mungkin ditayangkan hujung tahun atau awal tahun depan,” katanya lagi.



