Berita

Aslam Didakwa Sudah Dua Kali Lafaz Cerai Terhadap Marissa

Isu rumah tangga pempengaruh media sosial, Ahmad Aslam kembali menjadi perhatian apabila didakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, Marissa Dania Hakim sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.

Peguam syarie yang mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, lafaz cerai pertama berlaku sekitar September 2024 sebelum pasangan itu kembali rujuk pada bulan sama, manakala lafaz kedua dibuat pada April 2025 dan diikuti rujuk semula pada Jun 2025.

Menurutnya, dakwaan mengatakan Aslam memfailkan perceraian adalah tidak tepat kerana anak guamnya hanya membuat permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk di mahkamah.

“Apabila disebut pengesahan, bermaksud lafaz cerai dan rujuk sudah berlaku di luar mahkamah dan perlu disahkan di hadapan hakim bagi menentukan kesahihannya,” katanya.

Tambah Yaser, permohonan tersebut difailkan pada 10 Mac 2026, beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun, prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Isnin tidak dapat diputuskan dan terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Jelas Yaser, terdapat beberapa isu hukum syarak dan undang-undang yang perlu diperhalusi sebelum keputusan dapat dibuat.

“Hari ini mahkamah tidak dapat putuskan lagi sebab terlalu banyak isu hukum syarak dan undang-undang yang perlu diputuskan.

“Ada beberapa perkara yang perlu diulas dengan pandangan serta rujukan kitab-kitab para alim dan ulama,” ujarnya lagi.

Menurutnya, antara isu yang timbul adalah berkaitan kesahihan lafaz cerai dan rujuk yang dibuat oleh kedua-dua pihak.

“Sebenarnya bukanlah kekeliruan pun, tetapi lebih kepada isu perceraian dan rujuk yang mesti mengikut Al-Quran dan As-Sunnah.

“Contohnya, lafaz dalam keadaan tertentu sama ada sah atau tidak, begitu juga rujuk dalam keadaan tertentu sama ada disabitkan atau sebaliknya, masih belum dapat diputuskan,” jelasnya.

Tambahnya, penangguhan dibuat kerana pihak-pihak terlibat belum dapat mengemukakan keterangan lengkap berhubung perkara tersebut.

Terdahulu, Aslam atau nama sebenarnya Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 27, dilihat hadir ke mahkamah sekitar pukul 11 pagi bersama Marissa dengan mengenakan busana sedondon, namun kedua-duanya enggan mengulas lanjut kepada media.

Kes berkenaan didengar di hadapan Hakim Syarie, Nadia Khamis bagi menentukan status sebenar hubungan pasangan itu sama ada masih sah sebagai suami isteri atau sebaliknya.

Untuk rekod, kisah Aslam dan Marissa sebelum ini mencetuskan perhatian ramai selepas mereka dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Pernikahan tersebut didakwa berlangsung ketika isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang menunaikan umrah selain dikatakan tanpa pengetahuan keluarga Marissa termasuk ibu bapanya, pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.

Pada Mei 2025, pasangan itu turut hadir ke mahkamah sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses pendaftaran serta penguatkuasaan masih belum selesai sehingga kini.

Related Articles

Back to top button