Oscar 2026: Ucapan Penyanyi Lagu Golden Dipotong Cetus Kemarahan Peminat, Ini Respons Pihak Academy Awards

Naib Presiden Eksekutif Walt Disney Television, Rob Mills memberi respons terhadap kritikan orang awam yang mengecam tindakan Academy Awards ‘memotong’ barisan penyanyi bagi filem K-Pop Demon Hunters sewaktu mereka menerima anugerah pada majlis berkenaan.
Menurut Variety, Mills mengakui isu tersebut dalam satu temu bual, dan menyatakan cara pengendalian ucapan akan dinilai semula untuk majlis akan datang.
Mills menjelaskan, ucapan penerimaan berbeza bergantung kepada jumlah pemenang di atas pentas serta kekangan masa yang diperuntukkan.
Dia mencadangkan beberapa alternatif seperti melantik seorang wakil untuk berucap atau meneruskan ucapan tambahan di belakang pentas dan dikongsi melalui media sosial.
Dalam masa sama, Mills turut menekankan yang tindakan memotong ucapan pemenang di tengah jalan bukan perkara mudah, sambil menyatakan bahawa ia lebih sukar apabila seseorang dipotong ketika itu satu-satunya momen mereka, dan isu ini memerlukan pertimbangan rapi dalam jangka masa panjang.
Terdahulu, kontroversi ini tercetus selepas ucapan penerimaan bagi lagu Golden dihentikan oleh muzik orkestra sebelum pemenang sempat menghabiskan ucapan mereka. Insiden itu mengundang kritikan penonton di seluruh dunia, khususnya kerana lagu tersebut merupakan lagu K-pop pertama yang memenangi kategori berkenaan.
Walaupun Rob Mills tidak memberikan penjelasan khusus mengenai insiden itu, kenyataannya memberi bayangan bahawa pihak penganjur Oscars mungkin akan menilai semula dan menambah baik cara ucapan penerimaan dikendalikan pada masa akan datang.



