“Ustaz Minta Saya Pakai Tudung”

Pelakon dan penerbit, Datuk A. Aida, 56, berkongsi detik yang menjadi titik perubahan dalam hidupnya sehingga mengambil keputusan untuk berhijab.
Menurut A. Aida keputusan tersebut tercetus selepas dia dinasihatkan oleh pendakwah Ustaz Izhar Ariff ketika dirinya baru sedar daripada ditidurkan akibat komplikasi pembedahan lutut pada September tahun lalu.
Katanya, ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor memaklumkan kepada ahli keluarganya bahawa peluang untuk dirinya pulih ketika itu amat tipis.
“Ketika saya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor maklumkan kepada keluarga minta buat solat hajat dan bacaan yasin sebab katanya saya tiada peluang lagi.
“Kalau hidup pun, kemungkinan saya akan jadi seperti ‘sayur’ dan tak akan ingat apa-apa. Kemudian bila sedar, saya nampak Ustaz Izhar dan ayat pertamanya, minta saya pakai tudung.
“Hati saya terus dijentik dan saya putuskan untuk bertudung. Sepanjang sebulan proses pemulihan, kata-kata ustaz itu bermain dalam fikiran,” katanya.
Tambah Aida lagi, kata-kata anak keduanya, Azeva sekitar seminggu sebelum Ramadan turut menguatkan lagi tekadnya untuk menutup aurat dengan sempurna.
“Hal lain yang membuatkan hati saya lebih kuat untuk berhijab adalah disebabkan permintaan anak kedua saya ‘mama tak nak pakai tudung ke?’ yang buat saya agak terkejut.
“Kata-katanya buat seminggu saya tak tidur malam. Ditambah pula, umur saya sekarang, memang patut sudah berhijab dan bukan keputusan mudah.
“Bermula awal Ramadan, saya cari semula tudung-tudung lama dan pakai sehingga sekarang. Anak-anak pun gembira dengan keputusan saya ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aida turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhannya.
“Alhamdulillah, antara sebab saya sembuh juga adalah kerana doa orang ramai. Syukur diberikan peluang kedua untuk meneruskan hidup. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membalas jasa kalian,” ujarnya.
Terdahulu, Aida dilaporkan rebah ketika menjalani rawatan fisioterapi selepas menjalani pembedahan lutut sebelum terpaksa ditidurkan akibat komplikasi yang dialami.



