Music

Syasya Rizal Hidupkan Semangat Raya Dengan Inikan Hari Raya

Dalam lambakan lagu-lagu raya yang dilancarkan saban hari, ada sesuatu yang menarik tatkala mendengarkan buah tangan terbaharu daripada penyanyi, Syasya Rizal. 

Tampil dengan judul Inikan Hari Raya, lagu ceria ini membawa mesej yang dekat di hati sambil menekankan bahawa keindahan Hari Raya sebenarnya terletak pada kebersamaan, rasa syukur dan kesederhanaan.

Dengan melodi yang ringkas dan menyenangkan, Inikan Hari Raya membuka lagu dengan nota muzik yang ringkas serta rentak dram yang santai, sekali gus mencipta suasana hangat penuh semangat perayaan. 

Apabila lagu berkembang, susunan muziknya menjadi semakin berlapis sebelum kemuncak pada bahagian korus yang catchy dan mudah melekat di ingatan, menjadikannya antara lagu yang sesuai diputarkan berulang kali sepanjang musim lebaran.

Lebih istimewa, lagu ini bukan sekadar dinyanyikan oleh Syasya, tetapi turut ditulis bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus, dengan Amirul juga bertindak sebagai penerbit. 

Kolaborasi ini memberi ruang kepada Syasya untuk mencurahkan emosi dan pandangan peribadinya tentang makna sebenar hari raya.

Menurut Syasya, mesej kesederhanaan yang dibawa oleh lagu ini sangat dekat dengan dirinya. Dalam dunia media sosial yang sering memaparkan sambutan raya serba mewah dan sempurna, beliau percaya realitinya tidak semua orang menyambutnya dengan cara yang sama.

“Raya bukan tentang apa yang kita tunjuk, tetapi tentang siapa yang masih ada di sekeliling kita,” katanya saat ditanya tentang pengertian hari kemenangan yanh dinanti-nantikan.

Bagi Syasya, kebahagiaan beraya bukan datang daripada kemewahan, tetapi daripada rasa cukup dan menghargai apa yang dimiliki.

Single ini juga menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan seni Syasya kerana ini merupakan kali pertama beliau terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu. 

Pengalaman menulis bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus, katanya, membuka banyak ruang pembelajaran tentang bagaimana membina melodi, emosi dan cerita dalam sesebuah karya muzik.

Dalam masa yang sama, makna hari raya kini menjadi lebih mendalam buat Syasya. Sejak mendirikan rumah tangga dan mempunyai dua cahaya mata comel, Obot dan Obit, suasana Raya baginya terasa jauh berbeza.

“Bila ada anak, kita mula sedar bahawa raya bukan lagi tentang kita. Kita mula cipta memori indah untuk mereka pula,” tambahnya lagi.

Bagi Syasya, detik-detik kecil seperti tergesa-gesa bangun pagi di pagi raya, bau rendang di dapur atau makan bersama keluarga kini terasa jauh lebih berharga.

Melalui Inikan Hari Raya, Syasya berharap lagu ini dapat mengingatkan pendengar tentang perkara-perkara kecil yang sering menjadi kenangan paling manis ketika musim perayaan. 

Pada masa yang sama, beliau juga berharap lagu ini mampu menanam rasa empati terhadap mereka yang mungkin tidak dapat merasai kegembiraan Raya seperti orang lain.

Jika hasratnya tercapai, Syasya berharap suatu hari nanti lagu ini akan menjadi antara lagu wajib setiap kali Syawal menjelma.

“Kalau suatu hari nanti ada orang cakap lagu ini mengingatkan mereka kepada kenangan Raya bersama keluarga, itu sebenarnya hadiah paling besar untuk Syasya,” katanya penuh harapan.

Dengan mesej yang menyentuh hati dan melodi yang ceria, Inikan Hari Raya berpotensi menjadi antara lagu yang mengiringi kenangan indah Syawal semua pihak.

Related Articles

Back to top button