Trending

“Ramai Yang Berjuang Untuk Tidak Mengandung”

Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, 34, menjelaskan bahawa hantaran yang dibuatnya mengenai istilah “pejuang garis satu” sebelum ini tidak berniat untuk membandingkan apatah lagi merendahkan usaha pasangan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.

Pemilik nama lengkap Saidatul Naseha Uyaina Arshad, berkata setiap pasangan melalui perjalanan dan cabaran rumah tangga yang berbeza, sama ada sedang berusaha untuk hamil atau merancang jarak kelahiran anak.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada warganet kerana tujuannya sekadar berkongsi pengalaman peribadi.

“Hari itu saya ada buat hantaran mengenai pejuang garis satu dan ramai yang beri reaksi. Saya tak sangka, tetapi rasanya ramai juga yang berada dalam situasi sama seperti saya, iaitu berjuang untuk tidak mengandung sama ada secara manual atau menggunakan alat bantuan.

“Tetapi hantaran itu bukan untuk melagakan mereka yang sedang berusaha mendapatkan anak dengan mereka yang sedang merancang kehamilan.

“Bukan nak bandingkan siapa punya perjuangan lebih berat atau lebih sukar. Hakikatnya setiap orang ada perjuangan masing-masing dalam hidup dan hanya kita sendiri tahu apa yang kita lalui,” katanya.

Tambah ibu tiga anak itu, sebelum ini dia pernah melalui fasa di mana dia berharap keputusan ujian kehamilan tidak menunjukkan dua garis kerana ingin merancang keluarga terlebih dahulu.

Menurutnya, dia sentiasa memahami dan mendoakan rakan-rakan yang sedang berusaha untuk hamil, khususnya mereka yang sudah lama mencuba mendapatkan cahaya mata.

“Selama ini saya ada ramai kawan yang merupakan pejuang garis dua dan ada yang sudah bertahun-tahun TTC (Trying To Conceive). Saya tak pernah cakap perkara buruk, malah sentiasa doakan yang baik-baik untuk mereka.

“Saya cuma terfikir kalau ada pejuang garis dua, mungkin juga ada pejuang garis satu. Sebab setiap kali buat ujian kehamilan, saya selalu cakap ‘jangan double line’.

“Dulu kami merancang secara manual. Setiap orang ada pandangan dan situasi berbeza, itu saja yang saya cuba kongsikan. Mungkin ada yang salah faham dengan niat sebenar saya,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Uyaina yang juga isteri kepada penyanyi Raja Syahiran menerima kecaman di aplikasi Threads selepas memuat naik pandangan mengenai kewujudan wanita yang berusaha untuk tidak hamil buat sementara waktu.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa perkongsian tersebut tidak bermaksud menolak rezeki atau tidak bersyukur dengan anugerah zuriat.

Untuk rekod, Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Raja Syahiran pada 21 Disember 2021. Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan, 4, Raja Urrayan, 2, dan anak bongsu mereka Raja Uzayn yang dilahirkan pada Januari lalu.

Related Articles

Back to top button