Kes Tipu Darjah Kebesaran & Tanah, Azar Azmi Mohon Beri Ruang

Pelakon, Azar Azmi, 35, hadir di Kompleks Mahkamah Seremban pada Rabu bagi memberi sokongan kepada suaminya yang berdepan pertuduhan di mahkamah.
Azar ketika ditemui media di luar perkarangan mahkamah memilih untuk tidak mengulas lanjut dan hanya memohon agar diberikan ruang.
“Saya minta maaf ya, kalau boleh beri ruang dekat saya. Insya-Allah ada apa-apa nanti saya beritahu,” katanya ringkas.
Kehadiran Azar adalah bagi memberi sokongan kepada suaminya, Mohd. Apri Hazreen Mohd. Sapri, 41, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Seremban atas dua pertuduhan menipu dua individu berkaitan urusan mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk’ serta tanah kurniaan.
Kes berkenaan didakwa melibatkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM293,931 yang berlaku pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Mohd. Apri Hazreen mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan mahkamah.



