Heeseung Undur Diri Daripada ENHYPEN, Bersiap Untuk Bergerak Solo

Heeseung secara rasmi mengumumkan pengundurannya daripada kumpulan ENHYPEN dan berkongsi sendiri perasaan serta perancangannya untuk memulakan kerjaya solo menerusi sepucuk surat tulisan tangan yang menyentuh hati.
Pada 10 Mac, Heeseung memuat naik mesej terperinci di platform peminat Weverse dengan mengakui bahawa berita tersebut mungkin mengejutkan peminat.
“ENGENE (nama fandom ENHYPEN) pasti sangat terkejut mendengar berita ini, dan saya percaya ramai yang mempunyai persoalan kerana ia berlaku secara tiba-tiba,” tulisnya.
Mengimbas kembali perjalanannya sejak debut bersama ENHYPEN pada 2020, Heeseung meluahkan rasa syukur atas enam tahun yang dilaluinya bersama kumpulan itu.
“Enam tahun yang saya habiskan bersama ENHYPEN dipenuhi dengan momen yang begitu bermakna dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Terima kasih kepada ahli-ahli yang berkongsi pelbagai emosi bersama saya, dan kepada ENGENE yang sentiasa mengisi setiap ruang kosong dengan kasih sayang. Disebabkan kalian, saya dapat melangkah lebih dekat kepada impian yang dahulu terasa mustahil,” katanya.
Dia turut menambah bahawa kenangan tersebut akan kekal sebagai antara memori paling indah dalam hidupnya.
“Saya ingin terus menyokong ENHYPEN lebih daripada sesiapa pun dan tidak akan melupakan detik-detik itu,” tulisnya.
Heeseung, yang pernah terlibat dalam penulisan lagu dan komposisi untuk lagu seperti Highway 1009, turut mendedahkan dia sudah lama menyimpan impian untuk menjadi artis solo.
“Saya telah berkongsi banyak karya saya dengan pihak syarikat dan kami mengambil masa yang lama untuk berbincang tentang cara terbaik mempersembahkannya kepada ENGENE.
Selepas banyak pertimbangan, saya membuat keputusan besar untuk mengikuti arah yang dicadangkan oleh syarikat agar saya dapat mempersembahkan versi terbaik diri saya kepada peminat,” jelasnya.
Dia juga mengakui yang sepanjang ini, dia cuba menyeimbangkan impian peribadi dengan aktiviti kumpulan.
“Saya menghabiskan banyak masa mengerjakan projek peribadi dengan harapan suatu hari nanti dapat berkongsi dengan kalian. Ada begitu banyak perkara yang ingin saya tunjukkan, tetapi saya tidak mahu meletakkan keinginan peribadi saya mengatasi pasukan,” katanya.
Heeseung turut memberi jaminan kepada peminat bahawa dia sedang membuat persiapan untuk comeback tidak lama lagi.
“Saya memahami kebimbangan kalian dan pelbagai cerita yang sedang beredar. Saya sedang bekerja keras supaya kita dapat bertemu semula tidak lama lagi.
“Lebih daripada sesiapa pun, saya benar-benar mahu kembali dengan versi diri yang lebih baik. Saya akan sentiasa mengingati kasih sayang ENGENE dalam hati saya ketika melangkah ke hadapan,” janjinya.
Sebelum ini, agensi BELIFT LAB mengumumkan ENHYPEN akan meneruskan aktiviti sebagai kumpulan enam ahli iaitu Jungwon, Jay, Jake, Sunghoon, Sunoo dan Ni-Ki, manakala Heeseung akan meneruskan aktiviti sebagai artis solo.
“Selepas perbincangan mendalam mengenai visi masa depan setiap ahli serta hala tuju kumpulan, kami mengesahkan bahawa Heeseung mempunyai arah muzik yang jelas ingin diterokai. Kami memutuskan untuk menghormati keputusan tersebut,” kata agensi itu.
Pengunduran Heeseung menandakan satu titik perubahan besar apabila beliau memulakan kerjaya solo, sementara ENHYPEN meneruskan perjalanan dengan barisan baharu.



