Viral

Buat Loan RM30K Untuk Boyfriend, Tapi Lelaki Itu Akhirnya Kahwin Wanita Lain

Cinta kadangkala membuatkan seseorang itu melakukan hal yang tidak pernah mereka bayangkan sebelum ini.

Bagi seorang wanita tempatan, apa yang pada awalnya dianggap sebagai pengorbanan untuk seseorang yang disayangi kini bertukar menjadi beban kewangan yang terpaksa ditanggung seorang diri.

Dalam satu hantaran di Threads baru-baru ini, wanita tersebut berkongsi bagaimana dia pernah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000 atas namanya sendiri untuk membantu bekas teman lelakinya melangsaikan hutang lama.

Menurutnya, dia bersetuju melakukan perkara itu selepas lelaki tersebut berulang kali memberi jaminan dia akan membayar semula wang tersebut sebaik sahaja pinjaman diluluskan.

“Saya pernah buat pinjaman RM30,000 untuk bekas teman lelaki saya. Dia janji akan bayar semula selepas saya buat pinjaman itu,” tulisnya.

Namun, keadaan tidak berlaku seperti yang diharapkan. Wanita tersebut mendedahkan lelaki berkenaan kini telah berkahwin dengan wanita lain dan enggan membayar semula wang tersebut.

Akibatnya, dia kini terpaksa menanggung sendiri komitmen pinjaman tersebut.

“Sekarang saya yang kena tanggung semuanya. Setiap bulan saya perlu bayar RM636 kepada bank,” katanya sambil menambah bahawa situasi itu membuatkan dia buntu tentang langkah yang perlu diambil seterusnya.

Kisahnya dengan pantas mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen, dengan ramai meluahkan rasa kecewa terhadap individu yang mengambil kesempatan terhadap pasangan dari segi kewangan.

Ada pengguna yang mengingatkan yang membuat pinjaman untuk seseorang yang belum berkahwin dengan kita mempunyai risiko yang sangat besar, terutama jika tiada sebarang perjanjian rasmi dibuat.

Ada juga yang menasihatinya supaya mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya dia mempunyai bukti berkaitan perjanjian tersebut.

“Kalau ada bukti bertulis, walaupun hanya perbualan WhatsApp, ia boleh digunakan sebagai bukti sokongan untuk membuat tuntutan,” cadang seorang netizen.

Seorang lagi pengguna turut mencadangkan supaya dia memfailkan tuntutan sivil di mahkamah, yang menurutnya kadangkala boleh dilakukan tanpa perlu mengupah peguam selagi maklumat penting seperti nama, nombor kad pengenalan dan alamat individu berkenaan tersedia.

Related Articles

Back to top button