Berita

Kaki Kanan Pula Mungkin Dipotong, Keadaan Kesihatan Sathiya Merosot

Pelakon dan pelawak veteran, Sathiya kini menerima rawatan di Hospital Ampang sejak tengah malam Isnin selepas keadaan kesihatannya dilaporkan semakin merosot.

Menurut anak perempuannya, Amani, 37, keadaan bapanya mula membimbangkan selepas Sathiya terjatuh di rumah pada Jumaat lalu ketika cuba bangun sendiri.

“Ayah terjatuh di rumah pada Jumaat lepas ketika cuba bangun sendiri dan kami bawa ke klinik.

“Tapi dia semakin lemah sebelum mengadu pening dan muntah-muntah serta tak mahu makan atau minum.

“Kaki kanannya pula semakin bengkak dan disebabkan itu, kami bawa dia ke hospital,” katanya.

Tambah Amani, doktor turut memaklumkan keadaan kaki kanan bapanya tidak begitu baik dan berkemungkinan memerlukan pembedahan.

Dalam masa sama, kaki kiri Sathiya yang sebelum ini dipotong hingga ke paras betis akibat komplikasi kencing manis kronik juga berisiko menjalani pembedahan sekali lagi sehingga ke paras lutut.

“Kami masih menunggu keputusan ujian darah tetapi doktor syak ada jangkitan kuman. Sekarang keadaan ayah pun tak begitu stabil, kita cakap satu dia cakap satu.

“Kemudian doktor juga beritahu kaki kiri ayah dalam keadaan tidak berapa baik dan kemungkinan terpaksa jalani pembedahan sekali lagi,” ujar Amani seperti dilapor Kosmo.

Terdahulu pada September tahun lalu, Sathiya menjalani pembedahan memotong kaki kirinya hingga ke paras betis akibat jangkitan kuman yang serius.

Difahamkan, selain menghidap kencing manis, pelakon yang popular menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu juga pernah diserang angin ahmar pada tahun lalu.

Related Articles

Back to top button