Trending

Kieran Tak Selesa Dengar Deejay Radio Guna Perkataan ‘Aku, Kau & Korang’

Penyampai radio, Kieran, 51, mengakui kurang selesa dengan trend penggunaan kata ganti nama diri seperti ‘aku’, ‘kau’ dan ‘korang’ yang semakin kerap digunakan dalam siaran radio masa kini.

Menurut pemilik nama sebenar Maskiran Jakiran, penggunaan perkataan tersebut pada pandangannya kurang manis untuk didengar oleh audiens.

Katanya, dia pernah menegur perkara itu sebelum ini, namun teguran tersebut tidak diterima baik oleh segelintir penyampai radio yang masih aktif bertugas.

“Nak dijadikan cerita fasal isu ini saya pernah tegur dulu dalam Facebook kalau tak silap (masa itu saya berhenti sepenuh masa radio).

“Tapi ada balasan daripada penyampai yang masih aktif bertugas katanya itu ‘style’ (gaya) lama (mungkin sebab dia kelakar).

“Saya jadi pendengar pun tak berapa gemar dengan penggunaan perkataan ‘aku, kau, korang’. Tak seronok.

“Bila penyampai berborak di konti tak kisahlah berdua, bertiga atau lebih jangan lupa kamu berborak untuk pendengar sebenarnya,” katanya menerusi satu hantaran.

Tambahnya, ketika awal penglibatannya dalam dunia penyiaran sekitar tahun 1999, penggunaan bahasa di radio sangat dititikberatkan dan penyampai tidak dibenarkan menggunakan kata ganti nama tersebut ketika bersiaran.

“Ketika saya mula sertai industri radio pada 1999, memang kami tidak dibenarkan guna perkataan tersebut ketika ke udara (waktu itu saya sebagai ground crew).

“Kemudian bila dah jadi penyampai radio (2003) sama sahaja. Tak boleh guna juga (aku, kau) terutamanya apabila berborak dengan pendengar,” katanya lagi.

Kieran turut berkongsi bahawa sepanjang bertugas di beberapa stesen radio sebelum ini, dia dan rakan setugas sentiasa menjaga penggunaan bahasa ketika berkomunikasi di udara bagi menghormati pendengar.

“Sepanjang saya ke udara di beberapa stesen radio sentiasa ada partner (rakan kerja).

“Antara kami pun tak ada guna aku, kau, korang (mungkin ada sesekali terlepas). Selalu guna bro, wak (panggilan AG) atau sebut nama terus,” ujarnya.

Terdahulu, Kieran pernah berkhidmat sebagai penyampai di beberapa stesen radio tempatan termasuk Era FM dan Hot FM.

Selepas hampir sedekad meninggalkan dunia penyiaran, dia kembali ke udara sebagai penyampai di stesen Kool FM pada tahun 2025.

Related Articles

Back to top button