“Tak Perlu Layan Orang Gila, Saya Sudah Buat Laporan Polis”

Pelakon Datin Intan Najuwa, 29, membuat laporan polis selepas mendakwa diganggu oleh seorang individu menerusi beberapa hantaran di platform Threads.
Menurut Intan gangguan tersebut bukanlah perkara baharu kerana individu terbabit dikatakan sudah beberapa bulan cuba mengganggunya.
“Tidak perlu melayan orang gila dalam Threads itu. Saya sudah buat laporan polis dan individu di sebalik akaun tersebut adalah seorang lelaki.
“Dia sebenarnya sudah beberapa bulan mengganggu saya,” katanya menerusi satu hantaran .
Tambahnya, gangguan yang diterima bukan sahaja berlaku di media sosial, malah lelaki tersebut turut bertindak menghubungi sebuah kelab polo yang sering dikunjunginya.
“Bukan setakat buat beberapa akaun palsu untuk ganggu saya di media sosial, dia juga pernah membuat panggilan ke kelab polo apabila tahu saya berada di situ.
“Perkara ini hampir berlaku setiap hari. Sebab itu saya ambil keputusan untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah akaun Threads menggunakan nama @intannajuwadatin yang memuat naik beberapa hantaran mengejutkan, termasuk kenyataan yang didakwa mengutuk suami Intan iaitu Datuk Asraf Azman sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan netizen.



