Sentuhan Nostalgia 60-an, SecondPlan Pertaruh Berhari Raya Sebagai Buah Tangan Terbaharu

Tatkala mendengarkan sahaja lagu Berhari Raya, pasti ingatkan sebahagian besar peminat kembali terkenangkan nostalgia lalu. Melodi dan muzik yang dipertaruhkan juga berbeza daripada lambakan lagu raya yang muncul saban hari sejak akhir-akhir ini.
Sebetulnya Berhari Raya yang dirakamkan oleh SecondPlan ini mungkin meninggalkan tanda tanya kepada sebahagian besar peminat memandangkan kumpulan tersebut belum dikenali ramai.
Namun mereka sebetulnya adalah kumpulan Sofarz, yang kini bergerak dengan nama SecondPlan sebagai identiti baharu di dalam industri muzik tanah air.
Salah seorang anggota, Zimi, menjelaskan bahawa keputusan untuk melakukan penjenamaan semula dibuat memandangkan kumpulan itu kini hanya dianggotai oleh empat orang ahli iaitu Zimi (gitaris), Amir (vokalis), One (pemain dram) dan Fairouz (bassis)
Walaupun Berhari Raya merupakan lagu pertama di bawah identiti SecondPlan, ia secara keseluruhannya merupakan lagu tema Syawal ketiga hasil karya mereka selepas Inilah Harinya dan Ingatan di Hari Raya.
Berkongsi mengenai konsep yang ditampilkan dalam Berhari Raya dan proses rakamannya, Zimi berkata, mereka menyuntik elemen 60-an dan prosesnya berjalan dengan sangat singkat.

“Lagu ini mengekalkan semangat Syawal yang ceria dan gembira dengan suntikan konsep light rock era 60-an bagi memberikan sentuhan nostalgia kepada pendengar.
“Menariknya, keseluruhan proses rakaman dan pembikinan lagu ini disiapkan dalam tempoh yang sangat singkat, iaitu sekitar dua hingga tiga hari sahaja.
Tambah Zimi, lagu ini dihasilkan khusus sebagai tanda penghargaan buat para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka.
“Kami menghasilkan lagu ini atas permintaan peminat, jadi kami hadiahkan Berhari Raya buat mereka,” ujar Zimi.
Zimi turut memberi bayangan bahawa SecondPlan akan terus aktif dan bakal melancarkan single terbaharu sejurus tamat musim perayaan nanti.
Berhari Raya merupakan lagu terbitan Nova Music Malaysia dan sudah dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu.



