“Jangan Cari Salah Nora, Dia Sedang Berubah Menjadi Lebih Baik”

Usahawan, Bossned tampil mempertahankan bekas isterinya, Nora Danish, susulan kecaman segelintir netizen terhadap respons pelakon itu di Threads.
Menurut Bossned atau nama sebenarnya Nedim Nazri Aziz, orang ramai tidak sepatutnya memperlekeh atau mencari kesalahan atas jawapan yang diberikan Nora.
“Jangan persendakan seseorang. Betul bekas isteri saya yang balas, jangan cari salah dia. Dia sedang berubah menjadi lebih baik.
“Kalau dia mengingati saya, Alhamdulillah. Kepada yang lain, berilah jawapan yang korang rasa sesuai,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Terdahulu, Nora mencuri perhatian apabila membalas hantaran Bossned yang mempersoalkan mengapa kebanyakan perniagaan dilihat semakin perlahan sepanjang Ramadan.
Dalam responsnya, Nora berkata keadaan itu berlaku kerana umat Islam digalakkan memberi tumpuan kepada ibadah dan mengurangkan fokus terhadap urusan dunia.
“Kerana Allah nak kita tumpukan dengan ibadah, buang dunia dan fokus akhirat,” tulis Nora.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk komen sinis yang mempertikaikan pandangannya.
Situasi itu mendorong Bossned tampil bersuara mempertahankan Nora dan menyeru orang ramai agar lebih berhemah ketika memberi pandangan di ruang maya.



