Global

Pelajar Mati Lepas Main Permainan Online 4 Hari Tanpa Henti

Seorang lelaki warga Taiwan yang bermain permainan atas talian tanpa henti selama empat hari tiga malam tanpa tidur mati akibat salur darah otaknya pecah.

Memetik Sin Chew Daily, kes tersebut didedahkan di media sosial oleh seorang jururawat unit rawatan rapi (ICU) di Taiwan, dikenali sebagai Lin Ting.

Menurut jururawat itu, selepas lelaki yang juga pelajar kolej itu rebah, dia segera dikejarkan ke hospital. Pemeriksaan mendapati salur darah otaknya pecah.

Difahamkan, pelajar tersebut terus bermain permainan video walaupun ibunya telah beberapa kali menasihatinya supaya berhenti.

Ketika bangun untuk ke tandas pada waktu malam, dia tiba-tiba menjerit sebelum jatuh pengsan.

Setibanya di hospital, pelajar itu terus menjalani pembedahan dan doktor mendapati salah satu salur darah di otaknya telah pecah sehingga menyebabkan pendarahan yang serius.

Bagaimanapun, keadaannya menjadi kritikal sehingga dia terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan serta memerlukan ubat untuk menaikkan tekanan darah.

Akhirnya, keluarga pelajar itu membuat keputusan untuk menghentikan bantuan hayat kerana tidak sanggup melihatnya terus menderita.

Pihak hospital kemudian menjemput ahli keluarga dan rakan sekuliah untuk memberi penghormatan terakhir. Ibunya yang luluh hati dilaporkan berulang kali memanggil nama anaknya.

Selepas kakitangan perubatan memberi sedikit masa tambahan, keluarga tersebut meminta agar tiub perubatan ditanggalkan.

Related Articles

Back to top button