Wanita Hamil Jalani Pembedahan Caesar, Letak Janin Dalam Peti Ais Hingga Mati Dihukum

Sebuah mahkamah di Korea Selatan mensabitkan seorang wanita berusia 26 tahun serta dua kakitangan perubatan atas kesalahan membunuh melibatkan kematian bayi yang baru dilahirkan.
Wanita berkenaan, dikenali sebagai Kwon, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun yang digantung, manakala pakar bedah yang menjalankan pembedahan terhadapnya dihukum penjara empat tahun manakala pengarah hospital pula enam tahun, menurut laporan BBC.
Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Kwon didakwa mendapatkan perkhidmatan untuk ‘menamatkan’ kehamilannya pada usia kandungan 36 minggu. Bagaimanapun, mereka berhujah bahawa bayi tersebut sebenarnya dilahirkan dalam keadaan hidup menerusi pembedahan caesarean sebelum dibunuh.
Menurut laporan, bayi itu didakwa diletakkan di dalam peti sejuk selepas dilahirkan sebelum akhirnya meninggal dunia. Kes tersebut mendapat perhatian nasional selepas Kwon memuat naik satu video di YouTube pada tahun 2024 yang menceritakan bagaimana dia menamatkan kehamilannya pada usia 36 minggu.
Video tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai dan membawa kepada laporan jenayah oleh kementerian kesihatan, sekali gus mendorong siasatan polis terhadap Kwon dan doktornya.
Pada Januari 2026, pendakwa raya menuntut hukuman penjara 10 tahun terhadap pengarah hospital serta enam tahun masing-masing terhadap Kwon dan pakar bedah berkenaan, dengan hujah bahawa bayi itu meninggal dunia selepas diletakkan di dalam peti sejuk. Mereka turut mendakwa kakitangan hospital telah memalsukan rekod perubatan bagi menggambarkan seolah-olah Kwon melahirkan bayi mati (stillborn).
Sepanjang perbicaraan, pengarah hospital dan pakar bedah tersebut mengaku bersalah membunuh bayi berkenaan dan terus ditahan selepas keputusan mahkamah dibacakan. Pendakwa raya juga mendakwa hospital itu menerima 1.4 bilion won (kira-kira S$1.2 juta) bagi menjalankan pengguguran terhadap lebih 500 pesakit, kebanyakannya diperkenalkan melalui orang tengah.
Peguam Kwon berhujah bahawa anak guamnya tidak mengetahui bayi itu akan dibunuh selepas dilahirkan. Kwon pula memaklumkan bahawa dia hanya menyedari dirinya hamil ketika kandungan berusia tujuh bulan dan memohon pengguguran kerana ketidakstabilan kewangan serta kebimbangan terhadap kesihatan bayi, memandangkan dia telah mengambil alkohol dan merokok sepanjang tempoh kehamilan.
Pada 4 Mac 2026, hakim memutuskan bahawa Kwon telah dimaklumkan bayi tersebut sihat, mendengar degupan jantungnya dan mengetahui bahawa bayi itu akan dilahirkan dalam keadaan hidup.
Hakim turut menyentuh ketidaktentuan undang-undang berkaitan pengguguran di Korea Selatan, di mana cadangan undang-undang yang membenarkan pengguguran sehingga 14 minggu, atau 24 minggu dalam kes tertentu, masih tergendala selepas larangan terdahulu dimansuhkan pada 2021.
Sumber: Mothership



