Music

Alami Masalah Paru-Paru, Marsha Terpaksa Ambil Steroid

Penyanyi, Marsha Milan, 40, mendedahkan dirinya berdepan masalah kesihatan serius melibatkan paru-paru sehingga menjejaskan perjalanan kerjaya seninya sepanjang tahun lalu.

Menurut Marsha, keadaan paru-parunya yang lemah menyebabkan dia mengambil tempoh pemulihan yang lama walaupun hanya dijangkiti demam atau batuk biasa.

“Saya memang ada masalah paru-paru lemah. Setiap kali sakit, proses untuk sembuh itu sangat lama dan memenatkan.

“Saya kena influenza dan ambil masa hampir dua bulan untuk pulih sepenuhnya. Dalam tempoh itu memang sukar sebab komitmen kerja tetap perlu diteruskan,” jelasnya.

Dalam usaha memastikan kelangsungan kerjaya, Marsha mengakui terpaksa bergantung kepada rawatan termasuk penggunaan steroid bagi menstabilkan suara ketika bekerja.

“Ada rakaman terpaksa ditangguhkan dan beberapa undangan persembahan juga terpaksa dibatalkan. Namun ada juga persembahan yang saya teruskan walaupun sedang bergelut dengan batuk dan demam,” ujarnya.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapatkan nasihat pakar selain mengambil langkah berjaga-jaga seperti suntikan vaksin serta pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Steroid memang saya ambil walaupun ramai menasihatkan sebaliknya, tetapi ketika itu saya benar-benar tiada pilihan,” katanya.

Kini, Marsha lebih berdisiplin dalam menjaga kesihatan dengan melakukan perubahan besar dalam rutin harian dan pemakanan.

“Tahun lalu benar-benar membuatkan saya risau kerana sakit datang berulang kali dan tempoh sembuh sangat panjang.

“Kesihatan kini jadi keutamaan dan saya perlu jaga diri sebaik mungkin supaya perkara sama tidak berulang,” tuturnya lagi.

Related Articles

Back to top button