Berita

Beri Alasan Jarang Guna, Pemandu Tak Perbaharui Cukai Jalan Mercedes Miliknya Disaman

Dalam satu lagi insiden melibatkan pemilik kenderaan mewah yang cuba mengelak tindakan undang-undang namun gagal, pemandu sebuah Mercedes-Benz E350 AMG Line berwarna putih baru-baru ini ditahan kerana memandu dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh.

Menurut satu hantaran Facebook oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Kedah, kejadian tersebut berlaku ketika operasi penguatkuasaan di Sungai Lalang pada 23 Februari lalu.

Selain cukai jalan yang tamat tempoh, kenderaan Mercedes itu juga didapati tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.

Ketika disoal siasat berhubung cukai jalan dan insurans yang telah luput, pemandu berkenaan memberi alasan bahawa dia jarang menggunakan kereta tersebut, menyebabkan dia tidak memperbaharui cukai jalan.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati individu itu bukan pemilik berdaftar kenderaan tersebut.

Pemandu dan pemilik kenderaan kemudiannya dikenakan saman di bawah Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan berkaitan.

Kenderaan Mercedes tersebut turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta yang sama sebelum dibawa ke Stesen Penguatkuasaan Kuala Ketil.

Related Articles

Back to top button