Global

Gambar Perkahwinan Tiffany & Byun Yo Han Bersama Girls’ Generation Adalah Palsu

Sekeping foto perkahwinan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) memaparkan Tiffany Young dari Girls’ Generation dan pelakon Byun Yo Han kini tular di komuniti dalam talian serta media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Foto tersebut memperlihatkan suasana ceria bersama Tiffany bersama ahli Girls’ Generation lain di sebuah lokasi yang kelihatan seperti sebuah majlis perkahwinan.

Pada bahagian tengah, Byun Yo Han dilihat mengenakan sut merah jambu, manakala Tiffany pula memakai gaun pengantin renda berwarna merah jambu sambil memegang sejambak bunga. Kedua-duanya tersenyum mesra.

Ada netizen yang terkejut dan bertanya, bagaimana foto perkahwinan tersebut boleh tersebar selain ada juga yang menyifatkan ia seperti sebuah babak daripada filem.

Tidak kurang ada juga yang meragui ketulenan gambar berkenaan.

Bagaimanapun, pengesahan daripada Xports News mendedahkan bahawa imej tersebut sememangnya dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan.

Tiffany Young, Byun Yo Han dan ahli Girls’ Generation tidak terlibat dalam sebarang sesi fotografi seperti yang digambarkan.

Seiring dengan perkembangan teknologi penjanaan imej AI yang semakin canggih, gambar rekaan yang menyerupai foto sebenar semakin mudah tersebar dalam talian.

Kandungan yang melibatkan isu sensitif seperti perkahwinan atau hubungan selebriti sering menarik perhatian pantas, sekali gus meningkatkan risiko penyebaran maklumat palsu. Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sebelum berkongsi gambar atau maklumat daripada sumber yang tidak jelas.

Terdahulu, agensi Byun Yo Han, TEAMHOPE, mengumumkan Yo Han dan Tiffany Young telah melengkapkan pendaftaran perkahwinan mereka.

Mengenai majlis perkahwinan, pihak agensi memaklumkan tiada masa atau lokasi khusus yang dimuktamadkan setakat ini, dan pasangan itu sedang mempertimbangkan untuk mengadakan majlis kecil secara tertutup bersama keluarga terdekat.

Sumber: Allkpop

Related Articles

Back to top button