“Melampau, Tergamak Menghina Serta Memijak Naskhah Suci Al-Quran”

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 47, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang berani menghina kitab suci al-Quran.
Siti mengakui dirinya berasa amat terkesan susulan tindakan melampau seorang individu yang didakwa memijak al-Quran, sekali gus mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.
“Saya secara peribadi amat terkesan dan berdukacita dengan tindakan melampau seorang individu yang tergamak menghina serta memijak naskhah suci al-Quran, sebagaimana yang tular baru-baru ini.
“Perbuatan tersebut melukiskan gambaran hilangnya nilai adab dan hormat dalam diri manusia yang jika dibiarkan akan merosakkan moral generasi akan datang,” katanya dalam sebuah hantaran.
Menurut penyanyi tersohor itu lagi, perbuatan sedemikian tidak boleh dipandang ringan dan wajar dikenakan tindakan tegas selaras dengan undang-undang yang sedia ada di negara ini.
“Negara kita ada undang-undang dan peraturan yang jelas. Justeru, kami berharap agar perbuatan si pelaku dikenakan tindakan serta hukuman yang setimpal mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya lagi.
Sebagai tanda protes dan solidariti terhadap kesucian al-Quran, Siti turut memuat naik sekeping foto memeluk kitab suci tersebut dalam hantaran berkenaan.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila seorang penuntut universiti tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur agama, kaum dan institusi diraja atau 3R.
Penuntut lelaki berusia 21 tahun itu dilaporkan direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan perbuatan menghina agama lain.
Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.



