Byun Yo Han, Tiffany Girls’ Generation Sah Daftar Perkahwinan, Rancang Majlis Kecil Bersama Keluarga

Pelakon Byun Yo Han dan anggota Girls’ Generation yang juga pelakon, Tiffany Young telah sah mendaftarkan perkahwinan mereka pada 27 Februari lalu.
Pada hari tersebut, agensi Byun Yo Han, TEAMHOPE, mengeluarkan kenyataan rasmi yang memaklumkan tentang ikatan rasmi berkenaan.
“Tiffany Young dan Byun Yo Han telah mendaftarkan perkahwinan mereka hari ini berdasarkan kepercayaan dan kasih sayang yang mendalam antara satu sama lain.
“Walaupun kedua-dua artis berhati-hati untuk tidak membebankan orang ramai dengan perkembangan peribadi mereka, mereka tetap ingin menyampaikan berita ini terlebih dahulu kepada para peminat yang sentiasa menunjukkan sokongan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi,” ujar kenyataan tersebut.
TEAMHOPE menjelaskan yang lokasi, tarikh dan masa majlis perkahwinan masih belum dimuktamadkan.
Buat masa ini, pasangan tersebut sedang mempertimbangkan untuk mengadakan majlis kecil yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat, dengan upacara keagamaan ringkas sebagai tanda kesyukuran.
Byun Yo Han dan Tiffany Young sebelum ini mengejutkan peminat apabila mengumumkan hubungan mereka pada Disember tahun lalu, sambil mengesahkan bahawa mereka menjalin hubungan serius dengan perancangan ke arah perkahwinan.
Difahamkan, kedua-duanya pertama kali bertemu ketika bekerjasama dalam siri Disney+ berjudul Uncle Samsik pada tahun 2024.



