Tak Jadi Cerai? Fuad Rahman & Tom Sudah Berbaik

Perkongsian penyanyi Tom di media sosial mencuri perhatian ramai apabila dia memuat naik momen berlari lalu memeluk suaminya yang juga penyanyi, Fuad Rahman.
Rata-rata wargamaya meluahkan rasa syukur dan gembira melihat pasangan tersebut kembali bersama selepas hubungan mereka sebelum ini menjadi bualan susulan beberapa kontroversi yang tercetus.
Momen berkenaan dilihat sebagai isyarat positif bahawa rumah tangga mereka kini kembali jernih.
Selain itu, Tom turut berkongsi beberapa video lain yang memaparkan kegembiraan mereka bersama anak-anak, sekali gus memberi gambaran hubungan keluarga itu sudah kembali pulih dan harmoni.
Terdahulu, Tom menyorot perhatian ramai apabila membuat pengakuan dirinya berlaku curang terhadap Fuad serta mendakwa rumah tangga mereka berada di ambang perpisahan.
Fuad bagaimanapun menegur tindakan isterinya yang berkongsi masalah peribadi secara terbuka di media sosial dan menyifatkan perbuatan membuka aib sendiri bukan langkah yang wajar.
Dalam masa sama, Fuad menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan rumah tangga mereka kerana masih menyimpan rasa sayang terhadap Tom.
Untuk rekod, Tom dan Fuad mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2023 selepas berkenalan menerusi program realiti Gegar Vaganza musim ke-9.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Putri Anggun Lovellia yang kini berusia dua tahun.
Sebelum itu, Tom pernah melalui tiga perkahwinan yang berakhir dengan perceraian dan hasil perkahwinan terdahulu, dia memiliki tiga orang cahaya mata lelaki.



