GlobalMusic

Presiden Mexico Mohon Bantuan Kerajaan Korea Supaya BTS Tambah Tarikh Konsert, Ini Respons Yang Diterima

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum berkongsi secara terbuka surat maklum balas rasmi daripada Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung berhubung permintaannya untuk menambah jumlah tarikh konsert BTS di negaranya.

Dalam sebuah video yang dimuat naik di TikTok, Claudia Sheinbaum menjelaskan bahawa beliau sebelum ini telah meminta pemimpin Korea Selatan itu mempertimbangkan penambahan persembahan bagi menampung permintaan luar biasa dalam kalangan belia Mexico.

Presiden Mexico itu turut membacakan kandungan surat daripada Lee Jae Myung, yang menyentuh kepentingan diplomatik dan budaya berkaitan permintaan tersebut.

Dalam surat berkenaan, Lee Jae Myung mengiktiraf hubungan yang semakin kukuh antara Korea Selatan dan Mexico, yang dibina atas dasar saling menghormati dan kepercayaan antara kedua-dua pemimpin negara. Beliau menyatakan bahawa minat mendalam rakyat Mexico terhadap K-Pop dan budaya Korea secara umum mencerminkan ikatan budaya yang erat antara kedua-dua negara.

Presiden Korea Selatan itu mengesahkan permintaan rasmi untuk menambah tarikh jelajah konsert telah disampaikan kepada agensi yang mewakili BTS. Namun, beliau menjelaskan, penglibatan kerajaan dalam sektor budaya yang diterajui pihak swasta adalah terhad, sambil menyuarakan harapan agar perkara tersebut menerima maklum balas positif.

Surat itu turut menyatakan hasrat untuk mengekalkan komunikasi rapat melalui saluran diplomatik serta cadangan pertemuan pada masa hadapan antara kedua-dua pemimpin. Perkara ini menyusuli pertemuan terdahulu antara Lee Jae Myung dan Claudia Sheinbaum ketika Sidang Kemuncak G7 yang diadakan di Kanada pada Jun 2025.

Claudia Sheinbaum mengakhiri videonya dengan berkongsi rakaman persembahan BTS dan menggalakkan rakyat Mexico supaya terus berharap akan ada berita baik.

Menurut laporan antarabangsa, kerajaan Mexico secara khusus memohon agar jadual konsert yang pada asalnya ditetapkan pada Mei 2026 diperluaskan. BTS kini dijadualkan mengadakan tiga persembahan pada 7, 9 dan 10 Mei di Estadio GNP Seguros di Mexico City.

Pihak berkuasa Mexico memaklumkan terdapat jurang ketara antara permintaan dan kapasiti, dengan lebih satu juta individu dilaporkan berusaha mendapatkan tiket, sedangkan jumlah tempat duduk yang tersedia bagi tiga tarikh tersebut hanyalah sekitar 150,000.

Sumber: Allkpop

Related Articles

Back to top button