BeritaTrending

Ashwad Ismail Dilantik Sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia

Bekas Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail, kini menggalas tanggungjawab baharu apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia berkuat kuasa pada Isnin.

Pengumuman pelantikan tersebut dibuat oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.

Dalam perkongsian sama, Fahmi turut memaklumkan pelantikan Sharifah Adlina Syed Abdullah sebagai Timbalan Ketua Pengarah jabatan berkenaan.

“Selamat datang ke keluarga Kementerian Komunikasi. Tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu, saudara Ashwad Ismail serta Timbalan Ketua Pengarah, Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah,” tulisnya.

Fahmi turut berkongsi beberapa foto pertemuan bersama Ashwad dan barisan pengurusan baharu, selain menyuarakan keyakinan bahawa kepimpinan tersebut mampu memperkukuh peranan penyiaran negara.

“Semoga kepimpinan yang dibawa terus memperkukuh industri penyiaran negara, memacu inovasi serta menyampaikan maklumat yang sahih dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ashwad merupakan antara individu terawal yang terlibat dalam penubuhan Astro Awani pada tahun 2007 dan telah menerajui bilik berita sebagai Ketua Pengarang sejak lima tahun lalu.

Ashwad juga aktif dalam organisasi kewartawanan serantau apabila dilantik sebagai Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) bagi sesi 2023 hingga 2025, selain pernah menggantikan Datuk Mokhtar Hussain dalam barisan kepimpinan jawatankuasa persatuan tersebut.

Related Articles

Back to top button