
Setelah tiga tahun tidak muncul di Malaysia, kumpulan Dewa akhirnya mengumumkan bakal kembali ke Malaysia melakukan konsert menerusi Dewa 19 – Cintaku Tertinggal Di Malaysia bagi mengubati kerinduan peminat.
Jika sebelum ini mereka berjaya memukau ribuan peminat dengan konsert A Night At The Orchestra – Chapter 5, Dewa 19 pada 2023, 6 Jun hadapan merupakan tarikh keramat bagi kumpulan ini hadir ke Axiata Arena Kuala Lumpur melunaskan kerinduan Baladewa terhadap mereka.
Bukan hanya penganjuran ‘Separuh Nafas’, Icon Entertainment sekali lagimemastikan Dewa 19 tidak datang ‘Kosong’.
Band fenomena Indonesia yang diasaskan Ahmad Dhani akan hadir bersama rakan seperjuangan termasuk Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha.
“Setelah kali terakhir melakukan konsert di Kuala Lumpur pada 2023, Dewa 19 selalu ingin kembali bertemu peminat di Malaysia.
“Malaysia, menurut Dewa 19 punya tempat yang istimewa di hati mereka. Ada cinta yang selalu tertinggal di sini sejak mereka pertama kali dapat menembus pasaran dan memiliki Baladewa sendiri di Malaysia.
“Jadi selepas perbincangan dan mencapai kata sepakat, kami menamakan konsert yang bakal berlangsung pada 6 Jun hadapan dengan nama Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia,” ujar pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.
Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia kelak akan menampilkan tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello bersama Tyo Nugros.

Lebih mengujakan, Icon Entertainment tidak mahu peminat ‘Larut’ bersama Dewa 19 sahaja tetapi buat julung kali menghadirkan Padi Reborn untuk bermain satu panggung bersama Dewa 19 sebagai band jemputan istimewa.
“Pertama kali di Malaysia, menerusi Icon Entertainment berjaya menyatukan dua band gergasi Indonesia di atas satu panggung. Dengan bangga kami umumkan Dewa 19 akan ditemani penampilan khas daripad sahabat seperjuangan mereka, band Padi Reborn.
“Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia bakal menjadi lokasi pertemuan Baladewa dan Sobat Padi yang menjadi sangat signifikan bahawa dua band berbeza boleh menebarkan satu perasaan, satu rasa dan cinta yang sama,” ujar Iman Tang.
Menurut Iman Tang lagi, konsep yang dibawa dalam Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia dengan Padi Reborn yang cukup terkenal dengan hit seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban tidak akan bersifat extravaganza tetapi sesuai tema yang akan dipenuhi kasmaran.
“Saya fikir konsep Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia jelas iaitu akan dipenuhi dengan cinta yang dihadirkan lewat untaian hit Dewa 19 dan Padi Reborn.
“Dewa 19 dan Padi Reborn sudah cukup mempunyai karisma dan pesona untuk menarik Baladewa serta Sobat Padi untuk hadir, menikmati cinta yang akan disampaikan dengan ‘Begitu Indah’ dalam Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia,” katanya lagi.
Harga tiket pula mula dijual mulai 27 Februari ini menerusi www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM236, RM288, RM388, RM428 dan RM488.



